‘Saya letih layan soalan merepek Ka Siong’

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengakui sudah letih melayan soalan demi soalan dari Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung projek terowong dasar laut yang disifatkannya sebagai soalan merepek.


Guan Eng berkata, soalan Ka Siong yang dianggap mencabar oleh beberapa laporan akhbar itu sebenarnya soalan remeh yang tidak perlu dijawab atau digembar-gemburkan.


“Soalan dia (Ka Siong) merepek dan meleret-leret. Saya tak nak jawab tapi barisan Exco minta saya jawab. Mula-mula dia persoal berkenaan dokumen, dia minta kita tunjukkan dokumen rasmi. Kita dah tunjuk. Selepas itu, dia kata pula perjanjian memorandum tidak dibuat secara sah, pun kita dah buktikan. Sekarang dia kata perjanjian yang dibuat tidak ada cop rasmi (stamping) pula.


“Tolonglah fikir guna otak, kita kerajaan negeri. Mestilah ada stamping. Semua urusan rasmi mesti ada stamping, kalau tidak, macam mana kita buat pembayaran? Saya dah terangkan kesemuanya sebelum ini tetapi dia masih tak faham. Saya harap ini kali terakhir saya jawab soalannya.


“Ini semua soalan merepek. Ini kah yang dikatakan soalan ‘tough’? Dengan soalan seperti ini, dia menunjukkan kebodohannya sendiri sebagai seorang menteri. Saya tak ada masa nak terlibat dalam permainan ini,” katanya kepada media tadi.


Pertikaman lidah antara Guan Eng dan Ka Siong bermula selepas pemimpin MCA itu mempersoalkan alasan penglibatan syarikat fesyen tempatan yang menjadi pemegang saham syarikat tujuan khas (SPV) yang digunakan dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]