Bermain sambil belajar

in Bisnes by


PENGGUNAAN kad imbas atau ‘flash card’ sebagai alat bantu mengajar kanak-kanak sudah lama dipraktikkan oleh ibu bapa dan juga tenaga pengajar di sekolah.


Namun, penggunaan kad yang mudah koyak dilihat kurang fleksibel.


Justeru, pengenalan kad imbas menggunakan material daripada kain felt amat membantu dalam mengatasi masalah itu.


Fungsinya juga sama seperti kad imbas biasa yang didatangkan dengan abjad, angka, huruf hijaiyah dan gambar-gambar haiwan berwarna-warni, cuma hanya dibezakan oleh materialnya sahaja.


Kakitangan awam, Hanirah Ahmad berkata, dia tertarik untuk membeli kad imbas kain felt apabila melihat iklan menjual produk itu di laman sosial Facebook.


“Memang saya berniat hendak belikan kad imbas untuk bayi saya yang berusia tiga bulan pada hujung tahun lalu.


“Bila melihat angkasawan negara (Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha) mengajar anak kembarnya menggunakan kad imbas seawal usia empat bulan, ia membuatkan saya nekad membelinya tanpa berkompromi soal harga,” katanya.


Hanirah berkata, sepanjang hampir dua bulan menggunakan kad imbas kain felt, bayinya dilihat begitu tertarik dengan warna-warni pada kad itu, selain lebih fokus.


“Anak saya juga sudah pandai pegang dan tengok kad imbas itu dalam tempoh yang lama. Ia secara tidak langsung merangsang perkembangan minda bayi saya.


“Bukan saya sahaja yang begitu teruja menggunakan kad imbas ini untuk anak saya, malah kawan-kawan sepejabat juga turut bertanya di mana saya membeli kad imbas itu. Mereka pun turut membelinya juga,” katanya.


Bagi kakitangan swasta, Musahrill Yahaya, tarikan warna kad imbas kain felt itu merangsang penglihatan anaknya yang ketika ini berusia setahun empat bulan.


“Bila anak saya lihat sesuatu benda berwarna-warni seperti kad imbas kain felt ini, dia pasti akan ke arah itu.


“Tambahan pula, kad imbas ini lembut, selamat dan mesra kanak-kanak. Jika guna kad imbas biasa daripada material kertas, ia akan kembang apabila digigit kanak-kanak dan mudah terkoyak. Namun, kad imbas kain felt ini sangat tahan lasak,” katanya.


Musahril berkata, kad imbas kain felt itu sesuai dijadikan sebagai cenderahati untuk anak-anak.


Sambutan memberangsangkan


Walaupun baru sahaja memulakan perniagaan sejak dua bulan lalu, peniaga kad imbas kain felt menerusi Flash Felt Bajet NFA, Nurbasirah Ab Rashid berkata, sambutan diterima sangat menggalakkan.


“Setiap minggu, sekurang-kurangnya dua tempahan set kombo yang merangkumi set kad imbas kain felt angka, abjad, huruf hijaiyah dan gambar-gambar haiwan akan diterima daripada pelanggan. Ada juga pelanggan yang suka membelinya secara berasingan.


“Namun, permintaan akan meningkat bila musim gaji iaitu lapan set kombo tempahan diterima, selain set-set kad imbas yang dibeli secara berasingan,” katanya.


Malah, pelanggan Nurbasirah bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, tetapi turut merangkumi di Sabah dan Sarawak.


“Setiap bulan, saya akan akan siapkan sekurang-kurangnya lima set kombo kad imbas kain felt sebagai persediaan awal supaya pelanggan boleh terus mendapat produk ini sejurus tempahan diterima.


“Kad imbas kain felt untuk set abjad dijual pada harga RM27, angka (RM17), huruf hijaiyah (RM37) dan gambar-gambar haiwan (RM7), manakala set kombo yang merangkumi empat set tersebut dijual pada harga promosi RM80 tidak termasuk kos penghantaran sehingga akhir bulan ini. Selepas itu, harganya akan kembali kepada RM88,” katanya.


Nurbasirah mendapat ilham menjual produk itu kerana minatnya yang mendalam terhadap kraf.


“Bila ke kedai kraf, saya selalu lihat kain felt yang sudah siap dipotong dengan angka 1, 2 dan 3 atau abjad A, B atau C. Tambahan pula saya ada anak kecil yang suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut.


“Jadi saya terfikir untuk menghasilkan sendiri kad imbas menggunakan kain felt yang lebih selamat untuk kanak-kanak selain membantu dalam perkembangan minda mereka. Kad ini juga boleh dicuci, mudah kering, tahan lasak dan tidak mudah koyak,” katanya yang mempromosikan produknya menerusi Facebook.


Menurutnya, semua kerja-kerja menggunting, menampal dan menjahit kad imbas kain felt dilakukannya sendiri.


“Saya turut dibantu suami yang membentuk sendiri huruf hijaiyah untuk ditampal pada kad imbas kain felt dihasilkan,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]