Dapat duit suami selepas 19 tahun

in Uncategorized by


SELAMA – “Makcik tak sangka, kepayahan yang terpaksa kami sekeluarga tanggung selama berbelas tahun selepas kematian suami, dibalas dengan cek ini, makcik nak guna buka kedai, ada juga pendapatan masuk nanti,” kata Aminah Bidin, 54, apabila menerima cek faedah Perkeso bernilai RM66,837.73.


Wang berkenaan diberikan setelah suaminya, Md Razak Md Ali yang bekerja sebagai operator kilang, meninggal dunia pada 1999 kerana mengalami masalah paru-paru berair.


Aminah berkata, selama ini dia tidak tahu berkenaan tuntutan pampasan berkenaan hinggalah hadir ke program ‘Jom Bantu Rakyat’ Dun Selama, November tahun lalu.


“Selepas itu, permohonan terus dibuat dan syukur tidak sampai dua bulan Perkeso berjaya menyelesaikannya,” katanya selepas menerima cek Perkeso di Pejabat Umno Bahagian Larut,  hari ini.


Aminah dari Kampung Banggol Jas, di sini berkata, selepas suaminya meninggal dunia, dia meneruskan hidup dengan melakukan pelbagai kerja demi menyara tiga anak  yang masih kecil dengan mengambil upah mengupas udang.


“Waktu itu, kami sekeluarga terpaksa menahan perut, makan pun berjimat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tapi saya bersyukur anak-anak memahami penderitaan ketika itu.


“Hari ini, menjadi titik sejarah dalam hidup makcik apabila derita yang dialami selama ini kerana ada hikmah disebalik  ujian  ALLAH, makcik nak guna wang ini untuk buka kedai runcit supaya dapat menjana pendapatan,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Perkeso Taiping, Rafidah Abd Rahim berkata, kes ini menunjukkan betapa penting kerjasama pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan Perkeso dalam menyampaikan maklumat berkaitan caruman dan tuntutan.


“Ia penting kerana ketika ini masih ramai dalam kalangan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman kurang pengetahuan tentang tuntutan seumpama ini.


“Jika masyarakat turut sama membantu menyalurkan maklumat, ia akan memudah dan mempercepatkan sebarang proses tuntutan sekiranya layak,” katanya.


Rafidah berkata, selepas serahan cek ini, Aminah juga akan menerima pencen bulanan sebanyak RM475 seumur hidup.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]