JKN nafi dakwaan pegawai cabut lari ketika pemeriksaan

in Edisi Utara by


CHANGLUN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN ) Kedah menafikan isu yang tular di media sosial mendakwa pegawai penguatkuasa kesihatan cabut lari apabila penghuni rumah hendak memanggil suami beliau di Taman Sri Meranti, semalam.


Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, ketika kejadian pegawai penguatkuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu sedang menjalankan tugas beliau dalam aktiviti kawalan dan pencegahan demam denggi di kawasan terbabit memandangkan terdapat kes demam denggi dilaporkan.


“Anggota terbabit menjalankan tugas dengan mematuhi prosedur yang digariskan bagi pemeriksaan rumah terbabit.


“Sebaik pegawai berkenaan memperkenalkan diri, tempat bertugas dan tujuan lawatan, beliau kemudiannya memohon keizinan untuk memasuki rumah bagi tujuan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.


Menurutnya, penghuni rumah yang ketika itu berada di dalam rumah pada kedudukan yang agak jauh tidak membenarkan anggota memasuki rumah disebabkan suami beliau tiada di rumah.


“Anggota terbabit mencatatkan maklumat tentang rumah bagi tujuan lawatan susulan sebelum beredar ke lorong belakang rumah terbabit dan rumah yang lain bagi menjalankan pemeriksaan,” katanya.


Norhizan berkata, setelah selesai menjalankan pemeriksaan, anggota terbabit kembali ke pejabat dan dimaklumkan oleh anggota lain tentang gambar beliau yang tular di media sosial.


“Beliau kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian itu atas faktor keselamatan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]