Kanak-kanak 7 tahun rentung dalam kebakaran

in Edisi by


PENAMPANG – Seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun rentung manakala ibunya cedera parah dalam kejadian kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Tebongon, Putatan, awal hari ini.


Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu mangsa itu terperangkap di dalam rumah dan tidak dapat diselamatkan keluarganya kerana api merebak  terlalu cepat.


Beliau berkata, ibu kanak-kanak tersebut yang berusaha menyelamatkan anaknya itu turut melecur.


Bagaimanapun, Mohd Ibrahim tidak mendedahkan identiti kanak-kanak berkenaan dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.


Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, dalam kenyataannya, mengenalpasti ibu kanak-kanak berkenaan sebagai Siti Sarta Mohd Azmi, 26, dan melecur 50 peratus di seluruh badan.


Menurut jurucakap PGO itu, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.35 pagi sebelum mengejarkan tiga buah jentera berserta 22 orang anggota ke lokasi kejadian dan operasi memadam api selesai sepenuhnya pada jam 7.15 pagi. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]