Penari klasik Ramli Ibrahim dapat anugerah di India

in Hiburan by
Datuk Ramli Ibrahim

Penari klasik Ramli Ibrahim dapat anugerah di India


PENARI dan koreografer tarian klasik India terkenal Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim, dinobatkan sebagai antara penerima anugerah sempena Hari Republik India tahun ini, sebagai pengiktirafan di atas sumbangannya selama ini.  


Ramli satu daripada 10 individu dari negara anggota Asean yang akan menerima anugerah Padma Shri sempena meraikan 25 tahun perkongsian dialog antara India dengan blok Asia Tenggara.


Anugerah itu juga sebagai menghargai kerjaya selama 40 tahun Ramli sebagai penari dan jurulatih tarian klasik  Oddisi, Bharatnatyam serta penubuhan Teater Tarian Sutra di Malaysia.


Ramli,64, banyak menyumbang dalam mempersembahkan tarian Odissi dan telah menerima pujian untuk persembahannya di India.


Sebelum ini, beliau pernah menerima Anugerah Akademi Sangeet Natak India pada 2011, pertama kali diberikan kepada rakyat Malaysia.


Anugerah Padma Shri, penghormatan awam tertinggi keempat di India, diberikan setiap tahun kepada individu di atas kecemerlangan dalam pelbagai bidang.


Sambutan tahun ini istimewa kerana 10 pemimpin Asean turut menghadiri istiadat perbarisan Hari Republik India, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana ketua negara dan kerajaan menjadi tetamu terhormat.


Jurucakap Kementerian Luar, Raveesh Kumar berkata, kerajaan India mengumumkan penghargaan itu diberikan kepada seorang individu untuk setiap negara Asean.


Antara penerima lain ialah Malai Haji Abdullah Malai Haji Othman dari Brunei dalam bidang perubatan, pengukir Indonesia I Nyoman Nuarta, diplomat Singapura Tommy Koh dan putera tertinggi Thailand, Somdet Phra Ariya Wongsa Khottayan.


Turut tersenarai Setiausaha Agung Vietnam Buddha, Sangha Nguyen Tien Thien, ahli perniagaan Filipina, Jose Ma Joey Concepcion III, sejarawan Myanmar, Thant Myint-U, Bounlap Keokangna dari Laos dan Hun Many dari Kemboja. – Bernama


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]