Polis ambil keterangan pelakon lepaskan tembakan senapang

in Semasa by


SERI ISKANDAR – Seorang pelakon lelaki berusia 30 tahun dipanggil polis, hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang patah orang lain dalam satu kejadian di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, Julai tahun lepas.


Polis menerima laporan berhubung kejadian itu setelah video menembak terbabit tular di laman sosial sejak tiga hari lalu menunjukkan aksi lelaki yang telah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata itu melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan ke udara.


Video berdurasi hampir 48 saat itu menunjukkan dua individu dimana seorang daripadanya pelakon terbabit sedang menembak sementara seorang lagi lelaki berusia 70 tahun, dipercayai pemilik senjata api terbabit.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemilik senjata api terbabit telah hadir ke balai polis semalam untuk memberi keterangan.


“Video ini dirakam pada Julai tahun lalu, namun baru saja tular dalam YouTube dua tiga hari lalu. Kita sedang menunggu pelakon lelaki berkenaan tampil memberi keterangan berhubung kes ini,” katanya pada sidang media, hari ini.


Beliau berkata, senapang patah jenis SK500 yang digunakan telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Senjata Api 1960.


“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 dan Seskyen 39 akta yang sama,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]