Thailand akan rancakkan pembangunan di sempadan

in Global by


SONGKHLA – Kerajaan Thailand akan berusaha mempercepatkan pembangunan di sempadan negara mereka bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada pelancong Malaysia.


Gabenor Songkhla, Dondej Phatnarat berkata, setiap kali tibanya musim cuti di Malaysia, ramai pelancong akan mengunjungi Songkhla bagi melawat tempat-tempat menarik di situ.


“Kita lihat sempadan Malaysia juga lebih maju berbanding Thailand, dan sudah pasti kerajaan Thailand akan lebih komited untuk memastikan pembangunan kami seiring dengan Malaysia,” katanya,ketika menerima kunjungan delegasi dari Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di pejabatnya, di Songkhla City Hall, baru-baru ini.


Menurutnya, negeri Kedah dan juga Songkhla adalah negeri bersempadan yang mana corak ekonomi dan politiknya hampir sama.


“Banyak perkara yang kita boleh berkongsi dan bertukar-tukar fikiran selain bersama-sama membangunkan industri pelancongan dan juga perniagaan,” katanya.


Mengulas mengenai isu kenderaan Malaysia yang dihalang masuk melebihi jarak sepatutnya, Dondej berkata, perkara itu tertakluk pada undang-undang dalam negeri.


“Bagaimanapun, kerajaan Thailand dalam perancangan untuk memeterai sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya yang turut menjelaskan kemasukan kargo ke Malaysia meningkat berikutan banyak produk dari selatan Thailand dieksport ke luar negara melalui Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar ke pelabuhan Pulau Pinang.


Source: SH Global

[featured-video-plus]