PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2018

Op Lejang: Lelaki miliki 22 rekod jenayah antara ditahan

in Uncategorized by


IPOH – Seorang lelaki yang memiliki 22 rekod jenayah lampau antara yang ditahan dalam Op Lejang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di empat lokasi berasingan, kelmarin.


Lelaki berusia 27 tahun beralamat di Chemor itu ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah pondok berhampiran kebun sayur di Jelapang, sekitar jam 6.20 petang.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit cuba melarikan diri dan setelah berlaku pergelutan, suspek berjaya ditahan.


Menurutnya, hasil semakan rekod lampau, didapati lelaki itu terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah curi di daerah ini.


“Dalam serbuan itu, pemeriksaan lanjut berjaya menemui sebuah beg tangan wanita tertulis ‘Bonia’ mengandungi anak kunci dan alat kawalan kunci keselamatan yang dilaporkan hilang.


“Siasatan lanjut berjaya mendedahkan lain-lain barangan curi yang dibuang lelaki terbabit berhampiran kawasan perumahan Waller Court. Di situ kita kesan terdapat sebuah beg tangan wanita yang dibuang dalam semak.


“Lelaki terbabit kini ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam operasi berasingan, seorang remaja mengaku telah mencuri lima motosikal bersama seorang rakannya dengan sebahagian kenderaan curi itu dijual kepada pihak lain.


Mohd Ali berkata, remaja berusia 19 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Kinta sekitar jam 10 malam.


Menurutnya, remaja berkenaan telah membawa anggota ke kawasan semak berhampiran sungai, lokasi sebuah rangka motosikal ditempatkan.


“Hasil soal siasat lanjut, remaja itu kemudiannya mengaku telah menjalankan kegiatan curi motosikal di Station 18 dan sekitar Pekan Bharu antaranya melibatkan motosikal Honda EX5 dan Yamaha 125z,” katanya.


Remaja itu kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Mampukah BN kekal di Labu?

in Politik by


KEHANGATAN PRU14 semakin terasa, apabila ramai pemimpin tertinggi sama ada dari kerajaan mahu pun pakatan pembangkang, semakin kerap turun padang bertemu rakyat.


Begitu juga di Negeri Sembilan apabila empat hari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat negeri beradat ini, dan bertemu rakyat sekitar Port Dickson, sekali gus merasmikan sekolah baharu di Sendayan.


Jelajah Perdana Menteri ke seluruh negeri untuk bertemu rakyat, menguatkan lagi andaian bahawa tarikh PRU semakin hampir.


PRU14 kali ini pasti akan lebih meriah apabila banyak parti baharu yang akan bertanding.


Di Negeri Sembilan, antara kerusi yang turut menjadi perhatian adalah di Dun Labu, selain Dun Ampangan, Paroi dan Parlimen Teluk Kemang,


Kerusi N20 Labu merupakan salah satu sasaran Pakatan Harapan (Harapan) untuk merampasnya pada PRU14 ini.


Sejak PRU13 lagi, pakatan pembangkang berusaha menembusi Dun ini yang dianggap sebagai kubu kuat BN.


Bagi BN pula, ini adalah satu-satunya kerusi Dun yang dimenangi dalam Parlimen Rasah, berikutan empat lagi kerusi ditawan oleh DAP.


Kini, masing-masing parti sama ada BN, Harapan mahupun Pas sedang bertungkus-lumus melaksanakan program bagi mendekati masyarakat.


Melalui pengumuman yang dibuat, pucuk kepimpinan Harapan bersetuju memberikan kerusi Dun Labu kepada PKR.


PKR yang sebelum ini setia menanti, kini mampu tersenyum lebar apabila kerusi itu akhirnya diberikan kepada mereka.


Perebutan kerusi antara Pas dan PKR telah lama berlaku, yang mana sebelum ini PKR ingin bertanding, namun pucuk pimpinan memberinya kepada Pas.


Tetapi pada PRU kali ini, PKR akhirnya diberi peluang bertanding di Dun Labu, dan sudah semestinya mereka perlu kotakan janji untuk merampas Labu. Adakah PKR berjaya menawan Labu atau sebaliknya? Tunggu dan lihat sahaja.


Walaupun pengagihan kerusi PH telah selesai, masih ada lagi terdengar desas-desus dan khabar angin kononnya Amanah tidak bersetuju dengan keputusan itu.


Ada juga yang mengatakan bahawa calon daripada Amanah perlu diletakkan di Dun Labu bagi mendapatkan undi, memandangkan sebelum ini Pas pernah bertanding di situ.


Lebih memeranjatkan lagi, Bersatu juga berhajat mahukan Dun Labu, kerana yakin rakyat akan memilih Bersatu yang didokongi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan rakyat Malaysia.


Walau bagaimana pun, sehingga kini masih lagi tiada perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut dilakukan.


Keputusan pengagihan kerusi Dun dalam Harapan telah pun dilaksanakan, dan pihak kepimpinannya turut mengesahkan bahawa tiada sebarang perubahan berlaku, biar pun terdapat beberapa desakan daripada parti komponen mereka yang tidak berpuas hati dengan pembahagian tersebut.


Nampaknya tuntutan yang dibuat oleh Bersatu tidak dilayan, dan sehingga kini pergolakan dalam Harapan di negeri ini masih jua berlaku.


Peperangan dalaman?


Di sebalik kekecohan yang berlaku dalam Harapan, kita juga melihat ‘peperangan’ antara Naib Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Abd Karim Mustafa dengan Ketuanya, Datuk Hasim Rusdi, yang juga merupakan Adun Labu.


Banyak suara nakal yang mula berbisik bahawa Abd Karim cuba melobi diri untuk diangkat sebagai calon Labu, memandangkan banyak program bersama rakyat mula dilakukan.


Dalam masa yang sama, Hasim yang dianggap sebagai orang kuat Tok Mat, sedaya mungkin mahu terus kekal sebagai calon Labu, buat penggal ketiga.


Jika Umno mahukan calon muda, sudah pasti Karim menjadi pilihan, namun jika pengalaman dan orang lama dijadikan bahan ukuran, sudah pasti BN akan kekalkan Hasim, yang juga merupakan Exco Pertanian dan Asas Tani.


Namun, dari segi kerja sejauh mana pencapaian dan perubahan telah dibawa oleh beliau untuk penduduk di Labu? Adakah peluang yang rakyat berikan kepada beliau sejak dua penggal itu, digunakan sebaik mungkin atau sebaliknya? Biarlah rakyat yang menilai.


Apa juga program yang dilakukan oleh kedua-dua individu ini, yang untung sudah pastinya penduduk setempat kerana banyak bantuan dan sumbangan yang diterima.


Persaingan banyak penjuru


PRU kali ini akan lebih mencabar apabila perlawanan tiga penjuru pasti akan berlaku. Mungkin juga akan wujudnya calon bebas yang sengaja ingin mengacau undi. Siapa tahu?


Begitu juga impian Pas untuk bertanding di Labu tetap diteruskan, cuma kali ini Pas bertanding di atas kaki sendiri, berbeza sebelum ini bersama Pakatan Rakyat.


Namun, keupayaan dan kekuatan Pas jangan pula dipandang sinis kerana masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.


Jangan cakap Pas sudah tidak berbisa, kerana taringnya masih lagi ada.


Bagi rakyat pula, mereka mempunyai banyak pilihan ketika mengundi nanti,  namun persoalannya parti mana yang berjaya menambat hati pengundi di Dun Labu?


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Ceramah Perdana Pakatan Harapan terkawal

in Politik by


PEKAN  – Ceramah Perdana Pakatan Harapan (Harapan) ‘Selamatkan Malaysia’ di Dataran Felda Chini 2, di sini,  malam tadi, berlangsung dalam suasana terkawal.


Sebelum ini, Umno Bahagian Pekan memberi amaran kemungkinan akan berlaku kekecohan pada program tersebut.


Bagaimanapun, ceramah yang dihadiri lebih 400 orang itu berjalan lancar dengan kehadiran Pengerusi Harapan,Tun Dr Mahathir Mohamad.


Turut hadir, Pengerusi Amanah,Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Keadilan,Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan wakil DAP Pusat, Ronnie Liu yang berucap di hadapan penonton.


Turut menyampaikan ceramah, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan,Mazlan Aliman; Ketua Pemuda Bersatu,Syed Saddiq Syed Abdul Rajman dan Timbalan Pengerusi Harapan Pahang, Leong Ngah Ngah.


Ceramah bermula kira-kira 9.30 malam dan berakhir kira-kira 11 malam itu dengan ucapan penamat oleh Tun Mahathir.


Dalam ucapannya, Tun Mahathir mengharapkan sokongan rakyat untuk memastikan kemenangan Harapan dalam PRU14 nanti.


 


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Pengunjung zoo maut dibaham harimau

in Global by


ZHEJIANG – CHINA . Seorang pengunjung zoo maut dibaham harimau selepas dia terjatuh ke dalam kandang haiwan pemangsa itu dalam kejadian mengemparkan netizen China, minggu ini.


Kejadian ngeri di Zoo Youngor di barat bandar Ningbo itu, turut disaksikan anak dan isteri mangsa.


Saksi berkata, mangsa terjatuh ke dalam kandang harimau Siberia itu selepas memanjat  jambatan bagi mengelak tiket bayaran masuk berjumlah RM80.


Isteri dan anaknya bagaimanapun telah membayar tiket tersebut.


Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, mangsa dapat dilihat cuba melawan sekumpulan harimau yang meluru ke arahnya.


Pengunjung lain serta petugas zoo cuba menyelamatkan lelaki tersebut dengan membakar mercun, namun gagal.


Menurut pihak berkuasa, petugas terpaksa menunggu hampir sejam untuk membawa keluar mayat mangsa.


Susulan kejadian itu, zoo terbabit menggantung operasinya sehingga siasatan selesai. – metro.uk


 


 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

‘Kami semua rindu along’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Kami semua rindukan along, harap-harap dia dapat pulang dan ada pihak yang sudi bantu membawanya kembali ke negara ini,” kata Noraini Md Salleh, 47.  


Noraini merupakan ibu kepada Noorzailia Esammuddin, 30, yang didakwa dilarikan oleh seorang lelaki warganegara Nepal dipercayai teman lelakinya tujuh tahun lalu.


Menurutnya, anak sulungnya itu mengikut lelaki Nepal berkenaan yang dikenali sebagai ‘Adam’ pada tahun 2011 dengan tujuan bertemu dengan keluarga lelaki terbabit atas alasan berkaitan perkahwinan.


Bagaimanapun, Noraini mendakwa, sebaik sahaja sampai di Nepal semua dokumen milik Noorzailia disimpan oleh Adam sehinggakan anak sulung daripada 11 beradik itu tidak dapat pulang dan telah menjadi pendatang haram di negara berkenaan setelah tempoh sah tinggal tamat.


“Sebaik dia ke sana kami terputus hubungan, setahun selepas itu dia ada menghubungi kami dan menyatakan dia mahu pulang tetapi dokumen pengenalan dirinya tiada dan menyebabkan dia tiada dapat pulang.


“Kini setelah tujuh tahun di Nepal, dia telah mempunyai dua orang anak dengan lelaki berkenaan dan difahamkan mereka tidak lagi tinggal bersama setelah along berada dalam jagaan kedutaan Malaysia di negara berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Lurus, Senggarang, semalam.


Tambahnya, dia dimaklumkan oleh Noorzailia yang anaknya itu mahu pulang tetapi perlu membayar denda mengikut undang-undang negara terbabit sebanyak RM80,000.


“Mengikut rekod juga kedua-dua anaknya yang berada di Nepal itu tidak didaftarkan kelahirannya dan anaknya yang berusia enam dan tiga tahun itu turut dikenakan denda sekitar RM30 sehari setiap orang, jika mereka mahu dibawa ke Malaysia.


“Malah kami turut sedih dengan keadaan Noorzailia yang kini menghidap penyakit buah pinggang dan tidak mendapat rawatan yang sempurna dan yang ada kalanya juga kami terpaksa mengirimkan duit untuk dia membeli ubat,” katanya.


Dalam pada itu, Noraini turut memberitahu, anak sulu Noorzailia iaitu Hanif Faizal Dzaifullah Abdul Rahman, 9, yang ditinggalkan ketika berusia dua tahun amat merinduinya.


Katanya lagi, lebih menyedihkan apabila anak sulungnya itu tidak pernah bertemu dengan Norzailia, sebaliknya hanya melihat gambar untuk melepas rindu kepada ibunya itu.


Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap akan berhubung dengan pihak yang berkaitan bagi membantu membawa pulang wanita berkenaan.


“Buat masa ini kita akan berbincang dahulu dengan Ketua Bahagian, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk tindakan yang selanjutnya, selain bercadang mengadakan tabung derma kilat,” katanya.


Sumbangan boleh disalurkan ke akaun bank milik ibu Noraini, Salmah Md Shah iaitu 151427065092.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

Di mana Peli?

in Edisi by


PASIR PUTEH – Keluarga lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hilang sejak 14 Februari lalu memohon bantuan orang ramai memberikan maklumat jika terserempak dengannya.


Peli Mat Esa, 49, dikhuatiri hilang selapas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Alor Hijau, Selising.


Adiknya, Faridah, 45, berkata, abangnya yang mempunyai masalah mental semasa keluar memakai baju T dan berseluar paras lutut.


“Saya membuat laporan di Balai Polis Selising pada keesokan harinya dan sehingga sekarang kami tidak menemui sebarang petanda,” katanya sambil meminta orang ramai yang menemui Peli menghubunginya di talian 010-5226710.


Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan Peli keluar, namun dia tetap akan pulang semula ke rumah.


“Kami risau keselamatan dia dan berharap sangat orang ramai bantu kami. Kami juga berusaha mencarinya kerana tak pernah dia keluar rumah dan tidak balik untuk tempoh lama seperti ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]

‘Kelayakan tak semestinya rujuk KPI saya’

in Uncategorized by


IPOH – Kelayakan wakil rakyat sedia ada untuk dicalonkan semula pada PRU14 ini tidak semestinya merujuk kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dibuat pengerusi BN negeri.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penilaian itu dibuat secara umum dengan mengambil kira pandangan awam dan fakta, bukan berasaskan beliau semata-mata.


Menurutnya, sepanjang dua penggal menjadi menteri besar, diakui ramai kalangan wakil rakyat yang melaksanakan tugas dengan baik, namun ada juga tidak mencapai KPI ditetapkan.


“Itu perkara biasa dalam proses penugasan mereka. Saya tahu ada wakil rakyat kita buat kerja dengan baik dan terus mendapat sokongan rakyat, jadi tidak ada sebab untuk kita tolak, namun dalam soal ini, ia bukan tertakluk kepada itu sahaja, tetapi perlu libatkan dokongan parti dan keseluruhan pengundi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.


Beliau berkata, secara keseluruhan, wakil rakyat negeri ini telah menunjukkan KPI yang memuaskan.


“Mereka yang disukai dan terus menunjukkan khidmat kepada rakyat, tak kan kita nak tolak, begitu juga mana-mana wakil rakyat yang menunjukkan perkhidmatan baik, mereka pasti akan dikekalkan pimpinan parti,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Zambry selaku Pengerusi BN Perak berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan manifesto di peringkat Parlimen dan Dun.


Katanya, penyediaan manifesto itu boleh disediakan untuk dimasukkan bersama manifesto negeri, bergantung kepada kemampuan pelaksanaan kerajaan.


“Paling penting adalah untuk menyediakan manifesto di peringkat negeri, jika ada kemampuan secara realistik, maka di peringkat Parlimen dan Dun juga akan kita sediakan.


“Kita sudahpun adakan perbincangan awal untuk menetapkan manifesto negeri yang bersifat inklusif yang mana melibatkan manifesto peringkat kebangsaan dan disesuaikan dalam konteks kerajaan negeri Perak,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Trump dicalon Hadiah Nobel Keamanan?

in Global by


OSLO – NORWAY. – Institut Nobel Norway, semalam memfailkan aduan kepada polis selepas menerima pencalonan palsu untuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.


Pengarahnya, Olav Njolstad berkata, mereka mempunyai alasan untuk percaya pencalonan tersebut telah dipalsukan.


Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut tentang perkara itu kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.


Awal bulan lalu, Institut Penyelidikan Keamanan Oslo (Prio) mendakwa nama jutawan hartanah terbabit berada dalam senarai itu.


Menurut badan bebas organisasi Nobel yang memantau pencalonan didedahkan kepada umum, Trump sekali lagi dicalonkan untuk ‘ideologi keamanan melalui kekuatan’ oleh rakyat AS yang enggan identitinya didedahkan.


“Terdapat kemungkinan pencalonan itu dikemukakan individu yang melakukan penipuan identiti,” ujarnya.  


Setiap tahun, pencalonan untuk Hadiah Nobel Keamanan perlu dikemukakan pada 31 Januari dan antara nama individu yang layak dicadangkan adalah anggota Parlimen dan kerajaan serta profesor universiti.


Difahamkan, Institut Nobel itu telah menerima 329 pencalonan sah untuk Hadiah Nobel Keamanan 2018 dan lima anggota jawatankuasa yang akan memilih pemenang juga dibenarkan menghantar nama calon ketika mesyuarat pertama yang berlangsung pada Isnin lalu.


Antara nama yang disenarai pendek oleh Prio adalah pakar bedah Congo, Denis Mukwege dan aktivis kaum minoriti Yazidi, Nadia Murad yang melancarkan kempen membantah keganasan seksual.


Selain itu, antara pencalonan lain adalah Gerakan Payung yang menuntut pembaharuan demokrasi di Hong Kong pada 2014 yang dicalonkan kumpulan dwipartisan Kongres AS. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Neelofa patut fikir 100 kali

in Semasa by


SHAH ALAM – Figura terkenal dan ikon berpengaruh seperti Neelofa sepatutnya berfikir 100 kali sebelum lancar koleksi terbaru tudung dan sambutan ulang tahun kelahiran ke-29 di sebuah kelab malam.


Pakar pemasaran viral, Cocom berkata, bagi individu ramai pengikut di laman sosial seperti Neelofa, sewajarnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu di luar kotak.


“Untuk seseorang yang mempunyai 5.4 juta pengikut di media sosial, Neelofa sewajarnya perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan perbuatannya kerana ia akan jadi ikutan,” katanya.


Sementara itu, Pensyarah Fiqh Semasa, Pusat Fiqh Kontemporari, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, walaupun tujuan mempromosikan tudung untuk jadi popular, tetapi tidak boleh lakukan di tempat terlarang yang melanggar hukum syarak, undang-undang dan adat di Malaysia.


“Saya tidak tahu maksud tindakan Neelofa dan syarikatnya, tapi perbuatan itu langgar adat dan syarat.


“Setiap perkara yang nak dilakukan tambahan pula orang yang ada nama besar seperti Neelofa perlu berbalik kepada pandangan Islam, tidak pasti jika beliau ada agenda lain.


“Setiap orang ada silap, bagi peluang bertaubat, baiki kesilapan, jangan kecam. Doakan yang terbaik supaya dia diberi hidayah daripada ALLAH, elakkan maki hamun,” nasihatnya.


Pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula menegaskan, tindakan Neelofa melangkaui norma masyarakat Malaysia.


“Lokasi bukan penghalang, tetapi persoalan pengisian perlu nilai semula agar tidak melanggar nilai norma masyarakat,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Tetamu biadab makan penampar

in Global by


BEIJING – CHINA. Gara-gara bertindak keterlaluan, seorang tetamu majlis perkahwinan menerima padah selepas dia ditampar pengantin perempuan dalam satu insiden di China.


Rakaman video yang turut menjadi tular menunjukkan tetamu terbabit menolak kepala dan memaksa wanita itu untuk melakukan upacara kowtow atau melutut di hadapan mertua seperti biasa dilakukan pasangan mempelai di negara tersebut.


Perbuatan biadab lelaki tersebut telah menyebabkan pengantin perempuan terbabit berang lalu dia berdiri dan menampar muka lelaki itu sebelum ditenangkan ahli keluarganya.


Menurut Kan Kan News, pasangan pengantin terbabit baru mahu memulakan upacara tradisional tersebut yang merupakan satu acara wajib sebagai simbol menghormati ibu bapa.


Rangkaian berita tersebut bagaimanapun tidak menyatakan tarikh dan di mana lokasi kejadian itu berlaku.


Beberapa pihak mendakwa ia mungkin prank atau gurauan kepada pengantin sempena hari bahagia mereka.


Sejak dua tahun lalu, kelakuan tidak senonoh tetamu biadab di majlis perkahwinan telah menjadi topik sosial di negara itu.    


Pada November 2016, sebuah video menjadi trending selepas sekumpulan tetamu di Beijing memaksa pengantin menanggalkan pakaian dan mengadakan hubungan intim di hadapan mereka.


Dalam beberapa kes, prank perkahwinan telah menyebabkan kecederaan serius malah membawa kematian. – Daily Mail


Source: SH Global

[featured-video-plus]

1 2 3 30
Kembali UTAMA