Sindiket edar dadah tumpas

in Semasa by


JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari dekat Skudai, di sini, dua hari lalu.


Turut dirampas pelbagai jenis dadah lebih 10.39kg yang bernilai RM1.43 juta.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, individu yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki tempatan serta masing-masing wanita tempatan dan Vietnam berusia antara 22 hingga 50 tahun.


“Pihak kita telah melakukan intipan dan pemantauan terhadap aktiviti sindiket terbabit sejak empat bulan lalu.


“Kita percaya sindiket ini menggunakan taktik dengan membungkus dadah sintetik menggunakan pakej minuman berperisa seperti teh berperisa mangga untuk mengaburi mata pihak berkuasa.


“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas serbuk ektasi seberat 10.21kg; ketamin (5.62 g); syabu (140.01g); eramin 5 (130 biji) dan ektasi (empat biji),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor, di sini, hari ini.


Mohd Khalil berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk proses membungkus dadah seperti alat pemampat dan alat penimbang.


“Sebuah kereta Audi TT dan sebuah kereta Proton Saga turut dirampas dalam serbuan tersebut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]