Rafizi tidak akan terlepas hukuman akhirat

in Edisi by


RANTAU PANJANG – Hukuman penjara terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli disifatkan sebagai hukuman dunia, namun tidak akan terlepas dengan hukuman akhirat di atas kenyataan yang dikeluarkan kerana berbaur fitnah.


Penceramah Penerangan Umno, Kamal Saidin berkata, Rafizi tidak akan terlepas dengan hukuman ALLAH selepas tohmahannya terhadap Tabung Haji dan pendeposit Tabung Haji, dua tahun lalu.


“Baru-baru ini, Rafizi dikenakan hukuman penjara kerana memiliki, mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tuduhan mendedahkan penyata akaun bank National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).


“Namun siapa yang akan tanggung dosa apabila hampir 4,000 pendeposit menutup akaun sehingga hilang giliran untuk menunaikan ibadah haji?” katanya selepas Ceramah Isu Semasa Dun Bukit Tuku di Bilik Gerakan Dun Bukit Tuku.


Kamal berkata, Tabung Haji sehingga ke hari ini terbukti masih kukuh dan tidak mengalami masalah seperti mana dakwaan Ahli Parlimen Pandan tersebut.


Beliau turut menasihati semua pihak agar tidak terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan Rafizi kerana dikhuatiri mengandungi lebih banyak fitnah.


“Kekalkan kerajaan sedia ada kerana usaha yang dilakukan demi kepentingan rakyat bukan seperti pemimpin pembangkang yang mengeluarkan tohmahan demi kepentingan politik,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]