'Demimu anak syurgaku'

in Edisi by


MACHANG – Biarpun terlantar koma sejak tiga tahun lalu, hari lahir anak syurga, Adamia Fitri Abdul Rahim, 4, tetap diraikan ahli keluarganya dengan mengadakan majlis doa selamat di Kampung Banggol Judah, di sini, semalam.


Bagi keluarga, terutama ibunya, Rusnani Mat Ghani, 42, Adamia Fitri adalah hadiah terindah buat mereka dan menjaganya bagai menatang minyak yang penuh.


Apa tidaknya, dia mengorbankan seluruh hidup dan masanya untuk menjaga Adamia Fitri dan tidak pernah meninggalkan kanak-kanak itu walaupun sekejap.


“Dia memerlukan sepenuh perhatian, jantungnya boleh berhenti pada bila-bila masa tanpa sebarang tanda dan itulah yang paling saya bimbang, jadi saya selalu di sisinya.


“Jika saya perlu ke mana-mana tanpa dia, saya akan pastikan ada kakaknya yang menjaga Adamia Fitri. Kalau tidak, saya akan bawa dia ke mana sahaja saya pergi,” katanya kepada Sinar Harian.


Adamia Fitri koma sejak tiga tahun lalu selepas jantungnya terhenti buat kali kedua dalam tempoh yang lama ketika menjalani rawatan di hospital ekoran masalah paru-paru kronik yang dihidapi sejak lahir.


Kepayahan dan kesedihan keluarga ini pernah dikongsikan Sinar Harian sekali gus menarik perhatian pelbagai pihak yang tampil meringankan kesusahan mereka.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]