Gencatan senjata 30 hari

in Global by


NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebulat suara mengundi menggesa pelaksanaan gencatan senjata selama 30 hari di seluruh Syria ‘tanpa sebarang penangguhan’ untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemindahan perubatan dilakukan tanpa sebarang kekangan.


Resolusi itu diterima pakai selepas memperoleh 15-0 undi walaupun pada awalnya proses terbabit terpaksa ditunda beberapa kali kerana bimbang Rusia akan menggunakan kuasa veto mereka menolak langkah tersebut.


Terdahulu, Duta AS ke PBB, Nikki Haley turut menyelar Rusia yang menjadi punca penangguhan proses tersebut.


“Setiap minit yang kita tunggu, penderitaan orang awam tidak berdosa terus meningkat. Kita mengambil masa sehingga tiga hari untuk menerima pakai resolusi itu sedangkan ramai wanita yang telah kehilangan anak mereka akibat serangan tanpa henti tersebut,” tegasnya.


Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia bagaimanapun menolak dakwaan kononnya mereka sengaja melengahkan proses itu dan memaklumkan rundingan diperlukan untuk pelaksanaan gencatan senjata tersebut.


Sekurang-kurangnya 519 termasuk 127 kanak-kanak terbunuh dalam siri serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad sejak Ahad lalu yang disifatkan sebagai insiden paling berdarah sepanjang konflik selama tujuh tahun di negara tersebut.    


Dalam perkembangan lain, jet pejuang Syria didakwa melancarkan serangan baharu ke atas Ghouta Timur tersebut yang dikuasai pemberontak beberapa minit selepas resolusi tersebut diluluskan.


Menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria (SOHR), bandar Shifouniyeh telah menjadi sasaran bedilan tersebut. – Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]