Kafa tak mahu silap lagi

in Sukan by


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mendapatkan pandangan pemain dan pemangku jurulatih, Yusri Che Lah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk melantik pengendali baharu The Red Warriors.


Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, perbincangan bersama itu penting kerana pihaknya tidak mahu tersilap langkah menamakan pengganti Sathit Bensoh yang disingkirkan, baru-baru ini.


“Saya akan bincang dengan semua pemain dan Yusri. Setahu saya, dia (Yusri) perlukan seseorang (ketua jurulatih) yang dapat membantu menambahkan pengalamannya.


“Kita kena lebih teliti memandangkan pemain sekarang ini bukan dipilih jurulatih baharu, jadi kita perlu buat satu kesimpulan atau jalan terbaik sebelum muktamadkan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam kelmarin.


Pada aksi Liga Super antara Kelantan menentang Perak di Kota Bharu, kelibat dua calon jurulatih baharu iaitu Fajer Ibrahim dari Syria dan Darren Stewart (Australia) kelihatan menyaksikan perlawanan tersebut.


Kehadiran Fajer, bekas jurulatih skuad kebangsaan Syria dan Stewart, bekas pengendali Maldives mengesahkan kedua-dua individu itu bakal mengadakan rundingan bersama Kafa, dalam masa terdekat.  


Selain itu, bekas pengemudi kelab Hong Kong Rangers kelahiran Serbia, Dejan Antonic turut berada dalam radar Kafa untuk dibawa masuk membimbing skuad pantai timur itu.


Bibi Ramjani memberitahu, setakat ini kedudukan Yusri selaku jurulatih interim kekal walaupun dia berjaya memacu Kelantan meraih kemenangan sulung dengan menewaskan Perak.


“Sebagaimana perbincangan sebelum ini, saya suruh Yusri pegang (kendalikan) pasukan untuk satu perlawanan dahulu. Saya akan bincang dengan dia mengenai kedudukannya, selepas ini,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]