‘Patuhi enam saranan ini’

in Edisi Pahang by


KUALA ROMPIN – Pakatan Harapan (Harapan) Rompin menggariskan enam saranan berkaitan masyarakat Orang Asli di negara ini yang perlu diambil tindakan oleh parti yang memenangi PRU14.


Ia tidak merujuk kepada mana-mana parti politik sebaliknya saranan umum agar masyarakat peribumi itu terus terbela, bukan sekadar mahukan undi mereka sahaja.


Pengerusi Harapan Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, isu berkaitan tanah menjadi antara perkara pokok yang terkandung dalam beberapa saranan.


Menurutnya, saranan pertama adalah Kerajaan Negeri mesti memberi geran sebagaimana geran hak milik diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India.


“Saranan kedua hingga keempat masih berkaitan isu tanah iaitu mewartakan kawasan kampung Orang Asli sebagai Tanah Rizab Asli atau Hutan Simpan Khas yang tidak boleh diceroboh.


“Seterusnya menolak dan membatalkan mana mana geran hakmilik yang dipohon di atas tanah yang didiami oleh Orang Asli serta mengiktiraf kedudukan mereka sebagaimana pemilik berdaftar di dalam Kanun Tanah Negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.


Bagaimana pun, Mohd Fadzli menegaskan masyarakat Orang Asli perlu bersatu bagi memastikan semua saranan itu dipatuhi.


Di samping itu, isu berkaitan kemudahan asas dan kelangsungan perkampungan atau penempatan Orang Asli turut tidak dilupakan.


“Saranan kelima adalah kerajaan perlu memperbaiki kemudahan asas seperti jalan asas berturap jambatan dan sebagai bagi memastikan mereka selesa walaupun tinggal di pedalaman.


“Saranan terakhir yang juga amat penting ialah menghalang sebarang kegiatan perlombongan, pembalakan, peladangan kelapa sawit atau apa jua kegiatan yang merosakkan ekosistem dan penempatan Orang Asli,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]