Perkep buat kunjungan rumah ke rumah

in Edisi Terengganu by


KAMPUNG KUALA DURA-  Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu turun padang menziarahi individu kurang bernasib baik, di sini, semalam, bagi menzahirkan keperihatinan dan dekatkan diri dengan masyarakat.


Kunjungan dari rumah ke rumah melibatkan keseluruhan 10 buah itu diketuai Pengerusi Perkep IPD Hulu Terengganu, Zarina Omar@Yusuf  bersama-sama isteri kepada Adun Telemong iaitu Toh Puan Suhaiza Malek.


Program Ziarah Kasih tersebut antara salah satu pengisian aktiviti sempena Program ‘Community Policing’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Kampung Kuala Dura yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat.


Menurut Zarina, isteri pegawai atau anggota polis juga sebenarnya turut membawa imej pasukan dan pastinya satu keperluan untuk pihaknya sama-sama memainkan peranan bagi mendekatkan diri dengan masyarakat.


“Program ziarah kasih ini merupakan salah satu aktiviti rutin Perkep. Selain menzahirkan keperihatinan, sumbangan berupa barangan keperluan dapur disampaikan diharapkan sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga terlibat.


“Peranan Perkep amat besar dalam membantu pegawai dan anggota polis, kita harapkan setiap ahli Perkep dapat sama-sama meneruskan kelangsungan hubungan baik terjalin antara polis dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.


Tambah Zarina lagi, menerusi program sedemikian ia secara tidak langsung juga mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan Perkep dan selain berkunjung ke rumah, pihaknya pernah adakan aktiviti sama ke hospital bagi ramah-mesra dengan pesakit.


Sementara itu, antara aktiviti lain turut diadakan sempena Program ‘Community Policing’ PDRM Bersama Komuniti Kampung Kuala Dura itu ialah  gotong-royong bersih tanah perkuburan dan masjid, taklimat keselamatan serta sukan rakyat bersama penduduk.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]