Suami sakit, isteri galas tanggungjawab

in Edisi by


KOTA BHARU – Seorang isteri terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.


Rosmazira Ismail, 24, berkata, sebelum ini dia dan suaminya, Khairul Hashim Mohd Amin, 36, pernah bekerja menjual ayam proses untuk menyara keluarga. 


Namun akibat perbelanjaan tidak mencukupi, dia nekad bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Wakaf Mek Zainab dengan pendapatan RM35 sehari.


“Suami mula menderita sakit buah pinggang pada April tahun lalu, namun pada September penyakitnya dikesan berada pada tahap lima selepas mengalami muntah darah selain bengkak di tangan, kaki serta muka.


“Disebabkan penyakitnyaitu, suami saya perlu jalani rawatan dialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) setiap dua kali seminggu iaitu pada Ahad dan Khamis. Setiap kali rawatan saya perlu bayar RM13 kepada pihak hospital,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Limbat, di sini, semalam.


Ibu kepada dua anak ini berkata, selepas suaminya sakit dan tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan kerana cepat berasa letih, dia mengambil keputusan berhenti kerja di kantin sekolah dan mengambil alih kedai menjual ayam yang diusahakan suami sebelum ini.


“Ketika berkerja di kantin sekolah, saya perlu keluar rumah seawal jam 5 pagi dan pulang ke rumah jam 3 petang. Kini, rutin harian saya berubah kerana selepas hantar anak ke sekolah dan uruskan keperluan suami, barulah saya keluar mencari rezeki kira-kira jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.


“Pendapatan yang diperoleh hasil jual ayam tak menentu, kadang-kala dalam sehari boleh dapat RM30 dan wang itulah akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan dua anak,” katanya.


Suami Rosmazira turut mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM120.


Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, beliau akan memohon bantuan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.


Katanya, dalam masa sama, beliau juga akan memohon supaya JKM mempertimbangkan untuk menaikkan elaun bulanan yang diperolehi Khairul Hashim memandangkan dia kini hilang upaya dan tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]