“Wi Gok Sekali” tarik ramai pengunjung

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat ‘Wi Gok Skali’ yang dikunjungi kira-kira 8,000 orang di tapak lapang Batas Baru di sini semalam akan dijadikan program bulanan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu selepas ini.


Program itu yang bermula di kawasan Dun Ladang pagi ini akan diteruskan di Dun Batu Burok bulan depan diikuti Dun Wakaf Mempelam dan seterusnya Dun Bandar.


Program tersebut yang bermula kira-kira pukul 9 pagi dan berakhir pukul 2 petang itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang juga Pengerusi Penyelaras Dun Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi.


Hadir sama, isteri beliau, Datin Lily Sulia A Aziz serta Naib Ketua Umno Bahagian, Badrul Hisham Zaki dan Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.


Menurut Mohd Sabri, program itu akan diteruskan berdasarkan persetujuan antara pihaknya dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).


Beliau berkat, persetujuan itu juga dicapai rentetan daripada permintaan ramai yang mencadangkan agar program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang.


“Mereka (pengunjung) beritahu saya supaya program ini diadakan tiap hari, jadi saya telah berbincang dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk KPDNKK, LKIM serta Fama dan kita setuju untuk adakan tiap bulan secara bergilir mengikut Dun.


“Kita dah mula hari ini di Dun Ladang, untuk bulan depan kita akan teruskan program Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat ini di Dun Batu Burok disusuli Dun Wakaf Mempelam dan begitulah seterusnya,”  katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]