Bumiputera masih terkebelakang

in Bisnes by


SEJAK tahun 2000, nilai hartanah melambung tinggi dan dilihat sebagai sektor penting kepada ekonomi negara. Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera, ia tidak seimbang. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan pemilikan bumiputera seakan 20 tahun terkebelakang berbanding bangsa lain.


Pengasas Anggun Armada Sdn Bhd (Anggun Armada), Datuk Rosdi Arifin berkata, situasi sekarang menunjukkan penguasaan Bumiputera dalam bidang hartanah hanya 40 peratus sahaja, ia terlalu lambat berbanding bangsa lain.


Menurutnya, Bumiputera tidak perlu bertanya mengapa perkara itu boleh berlaku, tetapi mencari penyelesaian untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu pemilikan hartanah di negara ini.


“Kajian demi kajian dijalankan sekian lama menunjukkan masalah itu adalah masalah sama tetapi masih gagal diselesaikan. Apa yang perlu dilakukan ialah kita bersama-sama membantu pemilikan Bumiputera dalam hartanah,” katanya.


Katanya, peluang memiliki hartanah terbuka luas dan Anggun Armada menyasarkan peningkatan pemilikan hartanah meningkat kepada 60 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.


“Sasaran tersebut dapat dicapai dengan merebut peluang pelbagai bantuan perumahan disediakan kerajaan. Malah, memilih ejen hartanah yang betul dan mempunyai kepakaran untuk membantu pemilikan rumah dalam kalangan Bumiputera akan membantu mereka memiliki hartanah yang bernilai baik” katanya.


Pembinaan rumah mampu milik


Rosdi berkata, selain sebagai pihak yang terlibat dalam pemasaran hartanah, Anggun Armada turut menyediakan kursus kepada konsultan jualan hartanah dan memperjuangkan pemilikan hartanah terutamanya rumah dalam kalangan Bumiputera iaitu satu keluarga satu rumah.


Katanya, pada 2017, kesedaran pemilikan dalam kalangan Bumiputera meningkat dan dijangkakan peningkatan akan berterusan sepanjang tahun ini.


“Kami mengunjurkan pemilikan rumah dalam kalangan Bumiputera meningkat dua kali ganda dipacu kuasa membeli yang tinggi selepas pilihan raya yang dijangka diadakan tahun ini. Penambahan ejen hartanah juga merupakan penyumbang kepada pemilikan hartanah,” katanya.  


Rosdi optimis, Anggun Armada sebagai pejuang kepada pemilikan rumah mampu milik dan menjadi ejen pemasaran hartanah kepada banyak pemaju akan memaksimumkan harga rumah mampu milik iaitu di bawah harga RM350,000.


“Kita mengunjurkan 60 peratus pemilikan rumah dalam kalangan Bumiputera dan kami akan menjadi antara penyumbang terbesar. Kami mahu pemaju menjual rumah dengan harga yang kami perkenalkan kerana ia adalah bertepatan dengan kemampuan pengguna,” katanya.


Ejen bantu pembeli rumah


Penggunaan ejen atau konsultan jualan hartanah secara eksklusif membantu pembeli rumah dan memberikan maklum balas mengenai harga dan pasaran dari masa ke semasa kepada pemilik asal hartanah.


Rosdi berkata, Anggun Armada yang bertindak sebagai ejen pemasaran hartanah kini mempunyai 2,000 konsultan hartanah yang berjaya mencatatkan pelbagai kejayaan dalam penjualan hartanah di seluruh negara.


“Kami akan beri latihan secukupnya kepada konsultan hartanah kerana ilmu hartanah penting untuk membawa diri mereka ke dunia luar mendampingi pelanggan. Anggun Armada menyediakan  kelas hartanah kepada mereka yang berminat menjadi konsultan hartanah,” katanya.


Menurutnya, sebagai seorang ejen, mereka tidak boleh berfikir untuk menjual rumah sahaja kerana perlu melihat fakta prospek pelanggan sama ada mampu beli rumah atau tidak.


“Permintaan pembeli terhadap hartanah adalah berlainan mengikut kawasan dan bergantung kepada harga rumah. Sebagai seorang ejen, mereka perlu melihat kapasiti dan kuasa beli di sesuatu kawasan.  


“Malah, ejen perlu bersikap mendidik pelanggan mengenai setiap hartanah yang menjadi pilihan. Terdapat pelbagai jenis hartanah di negara ini dan ejen perlu memberikan penerangan jelas mengenai setiap jenis hartanah tersebut,” katanya.


Manurut Rosdi,  selain menyediakan kursus untuk orang ramai, Anggun Armada mengambil inisiatif mengendalikan kursus pilihan nombor satu dalam kalangan usahawan hartanah Bumiputera yang dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Komuniti Klang, Selangor.


“Konsepnya mudah iaitu lebih ramai konsultan jualan, maka akan lahirkan ramai pembeli. Kami menyasarkan satu rumah satu pembeli. Kami menyasarkan 3,000 konsultan jualan menjelang akhir tahun nanti,” katanya.


Lahir usahawan berpendapatan enam angka


 Penjualan hartanah menggunakan seorang konsultan jualan akan mengubah cara berfikir rakyat Malaysia dan ia akan memberikan keuntungan kepada pembeli dan kepercayaan pemaju.


“Ejen atau konsultan jualan akan bekerja keras menjual projek yang diberikan kepada mereka oleh pemilik dalam masa ditetapkan untuk dapat komisen ditawarkan kepada mereka. Penggunaan khidmat ejen atau konsultan jualan yang eksklusif akan menjimatkan kos yang digunakan terutamanya bagi tujuan pengiklanan.


“Armada Anggun menjadi pilihan beberapa syarikat pemaju terkenal sekaligus dapat menggandakan pendapatan konsultan hartanah yang kini berada dalam lingkungan enam angka,” katanya.


Menariknya, 50 peratus daripada 500 konsultan jualan yang dilahirkan mencapai pendapatan enam angka dan menjadi usahawan yang memfokuskan kepada bidang hartanah.


“Pada mulanya mereka tidak tahu apa-apa mengenai hartanah. Kami mendidik mereka sehingga mereka menjadi usahawan hartanah berjaya, menjadi konsultan hartanah hebat dalam sektor hartanah. Ada dalam kalangan mereka ini tidak mempunyai pendidikan tinggi tetapi berusaha menggali ilmu hartanah sekali gus membantu meningkatkan kehidupan mereka,” katanya.


Kerjasama dengan banyak pemaju  


Anggun Armada ditubuhkan sejak tiga tahun lalu bekerjasama dengan banyak pemaju melibatkan lebih 30 projek dan berjaya menjual 10,000 unit rumah di seluruh negara.


“Antara projek yang menjadikan Anggun Armada sebagai konsultan jualan antaranya di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sabah. Kami mempunyai konsultan jualan di seluruh negara,” katanya.


Katanya, Anggun Armada juga mempunyai pelbagai perancangan syarikat antaranya menubuhkan Koperasi Hartanah Anggun Berhad dan optimis menjadi pemaju.


“Kami akan mengadakan pembangunan pada 2019 dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM500 juta,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]