Mercedes-Benz Malaysia belanja RM6 juta

in Bisnes by


MERCEDES-Benz Malaysia membelanjakan kira-kira RM6 juta bagi kerja-kerja menaik taraf NZ Wheels Sdn Bhd Klang Autohaus.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, dengan jumlah keluasan hampir 320,000 kaki persegi, NZ Wheels Klang Autohaus kini mampu menempatkan sebanyak 17 kenderaan di ruang pameran.


“NZ Wheels Klang Autohaus kini berada pada standard Mercedes-Benz tertinggi. Kami yakin orientasi dan pengalaman terbaharu ini akan melonjakkan lagi jualan dan perkhidmatan kami.


“Kami berkeyakinan bahawa pelanggan kami di Klang dan kawasan berdekatan akan menikmati penjagaan terbaik yang sama dengan Mercedes-Benz tiga bintang,” katanya pada sidang media majlis pelancaran NZ Wheels Sdn Bhd Klang Autohaus, semalam.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner berkata, NZ Wheels Klang Autohaus terbaharu ini menunjukkan komitmen berterusan terhadap pasaran Malaysia.


“Kami tetap fokus memberi dan menghasilkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami.


“Kami juga akan terus meningkatkan usaha dalam membangunkan bidang utama termasuk teknologi, pengeluaran dan perkhidmatan,” katanya.


NZ Wheels Klang Autohaus mempunyai kira-kira 70 kakitangan yang mengendalikan perkhidmatan jualan,  teknikal dan alat ganti.


Pusat 3S turut dilengkapi dengan 30 ruang kerja dan mampu mengendalikan sebanyak 650 kenderaan sebulan.


Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Star Lounge peribadi di samping peningkatan terkini Perkhidmatan Diferensiasi iaitu rangkaian eksklusif perkhidmatan selepas jualan .


Mercedes-Benz NZ Klang Autohaus merupakan  salah satu daripada tujuh Mercedes-Benz Autohauses di Selangor, untuk menyokong peningkatan keperluan perkhidmatan premium


Mercedes-Benz Malaysia kini mempunyai 33 cawangan pengedar di seluruh negara dan NZ Wheels Sdn Bhd Klang Autohaus merupakan cawangan ketiga terbesar di Malaysia yang ditubuhkan sejak 1994.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]