Bekas pengarah syarikat didakwa lagi

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat pelaburan emas bergelar Datuk yang didakwa menerima deposit haram dan menyalah guna wang di Mahkamah Petaling Jaya Jumaat lepas, dihadapkan lagi di tiga Mahkamah Ampang atas 11 pertuduhan sama melibatkan wang lebih RM1.1 juta.


Datuk Yap Yee Hoo, 62, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Hakim Azrul Darus.


Di hadapan Haslinda, Yap didakwa atas tiga pertuduhan dengan curangnya menyalahgunakan harta  milik Tan Kim Seng, 62, berjumlah RM158,000 untuk pembayaran pelaburan emas di bawah Syarikat Royal Gold Sdn Bhd.


Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Pandan Indah, Jalan Pandan Indah di sini antara 13 Jun 2014 dan 2 September 2014 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak menawarkan jaminan RM60,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan namun tertuduh yang diwakili peguam TL Chen memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya sebelum ini dan telah diisytihar bankrap selain kini tidak mempunyai sebarang pendapatan.


Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes.


Di hadapan Mohamad Firdaus, lelaki itu didakwa atas enam pertuduhan sama menyalahgunakan harta milik Tan iaitu wang tunai berjumlah RM179,200 dan wang milik Siow Geok Meng, 55, berjumlah RM216,000 di CIMB Bank dan Public Bank Pandan Indah, di sini, antara 15 Januari 2014 dan 9 Oktober 2014 mengikut seksyen serupa.


Timbalan Pendakwa Raya M Arunjothy menawarkan jaminan RM90,000 bagi keenam-enam pertuduhan dengan seorang penjamin namun Mohamad Firdaus membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.


Di hadapan Azrul, Yap didakwa atas dua pertuduhan menerima deposit daripada dua mangsa sama berjumlah keseluruhan RM553,200 di tempat sama antara 30 April 2014 dan 9 Oktober 2014.


Pertuduhan mengikut Seksyen 137(1) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Arunjothy menawarkan wang jaminan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin namun Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM38,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.


Pada 23 Februari lalu, Yap mengaku tidak bersalah di Mahkamah Petaling Jaya atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur berjumlah lebih RM500,000 dan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM666,700. – Bernama

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]