Desak Jalan Kuala Garing di naik taraf

in Edisi Selangor KL by


RAWANG – Aspek keselamatan pelajar yang menjadi kebimbangan orang awam susulan kesesakan trafik di jalan Kuala Garing di sini menjadi kenyataan selepas seorang seorang pelajar dilanggar sebuah kenderaan awam, semalam.


Kejadian selepas tamat persekolahan sesi pagi itu mengakibatkan seorang pelajar tingkatan 5 luka di bahagian muka dan kaki.


Aktivis sosial, M Mythreyar berkata, bantuan perubatan lewat sampai ke lokasi disebabkan masalah kesesakan jalan raya menyebabkan mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam.


Menurutnya, pihaknya merayu isu kesesakan jalan dan keselamatan pelajar diberikan perhatian oleh wakil rakyat.


“Saya tidak pasti bila agaknya wakil rakyat Rawang akan turun bagi menyelesaikan masalah ini?


“Adakah  wakil rakyat Rawang menunggu sehingga kehilangan satu  nyawa akibat kesesakan jalan Kuala Garing?,” katanya menerusi kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.


Katanya, pihaknya yang bergerak di bawah badan bukan kerajaan Yayasan ESKAY Malaysia meminta kerjasama penduduk Rawang untuk bersatu menyokong kempen mengumpul 1,000 tandatangan sebagai mendesak masalah itu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri dan pusat.


“Saya berjaya kumpul 800 tandatangan sejak dilancarkan awal bulan lalu dan memerlukan 200 lagi sokongan awam untuk menjayakan kempen ini. Saya  berharap isu ini disokong penduduk yang berani tampil ke hadapan menyuarakan aduan.


“Saya berani mengatakan bahawa kejadian hari ini (semalam) adalah disebabkan kecuaian dan sikap tidak ambil peduli oleh wakil Rakyat Rawang,” katanya.


Jalan Kuala Garing menghadapi kesesakan terus teruk pada waktu puncak dan memerlukan kerja naik taraf serta pelebaran jalan, tambahan kawasan tersebut menempatkan empat buah sekolah.


Laluan hadapan sekolah juga turut menjadi laluan utama penduduk taman perumahan Kuala Garing.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]