Orang Asli sambut baik saranan adakan rundingan

in Edisi by


GUA MUSANG – Jaringan Orang Asal SeMalaysia (Jaringan) Kelantan sedia mengadakan rundingan bagi menyelesaikan masalah berkaitan aktiviti pembalakan di perkampungan masyarakat itu sehingga membawa kepada sekatan laluan lori balak.


Pengerusinya Mustafa Along berkata, rundingan yang dicadangkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerajaan negeri dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat perlu bagi mengelakkan konflik berterusan di petempatan mereka.


“Setakat ini lebih 800 Orang Asli masih berkumpul di tiga sekatan laluan lori balak di Pos Simpor bagi mendesak kerajaan negeri menghentikan kegiatan pembalakan yang menjejaskan tanah adat kami.


“Kami akan meneruskan sekatan selagi tiada jaminan bahawa perkara itu diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Bihai di sini, hari ini.


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam entri di laman sosial Facebooknya hari ini dilaporkan berkata, beliau menerima kunjungan Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Nor Akhirrudin Mahmud bagi membincangkan isu-isu semasa mengenai pengurusan sumber asli (hutan) dan masyarakat terutama masyarakat Orang Asli.


Seorang penduduk Orang Asli, Nasir Dollah, 31, berkata mereka berdepan banyak masalah jika kerajaan negeri terus meluluskan  pembalakan di kawasan perkampungan masyarakat itu.


“Masalah utama  melibatkan pencemaran sungai dan ia merupakan sumber terpenting kami untuk mendapatkan bekalan air.


“Kawasan hutan sepatutnya dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dan tidak sesuai dijadikan kawasan pembalakan, perlombongan ataupun perladangan,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]