Premis Bangladesh jual barang tiruan diserbu

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Premis kedai milik warga Bangladesh disyaki menjual barangan tiruan digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), pagi tadi. 


Serbuan melibatkan 13 anggota dan pegawai dijalankan kira-kira jam 11 pagi hasil maklumat dan risikan di Jalan Bukit Bintang, di sini.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Wan Mhd Yusof W Taib berkata, sebanyak 555 barangan termasuk beg tangan, jam, dompet, topi, tali pinggang, baju, seluar minyak wangi dan selipar yang dianggarkan bernilai RM10,865 dirampas di tujuh buah premis yang  diserbu.


“Pemeriksaan awal mendapati barangan berjenama Puma, Nike, Chanel, Louis Vuitton, Gucci, Yves Saint Laurent, Prada dan Levis disyaki tiruan dirampas dalam premis diselia warga Bangladesh terbabit,” katanya. 


Beliau mendedahkan, premis runcit yang aktif sejak dua tahun lalu itu menyasarkan pelancong asing sebagai pembeli.  Tambahnya, pihaknya percaya barang-barang tersebut dibawa masuk dari luar negara untuk pasaran Bukit Bintang. 


“Ketika serbuan, semua pekerja warga Bangladesh melarikan diri. Siasatan terus dijalankan bagi mengesan dalang dan individu terbabit yang terlibat dalam kegiatan penjualan barangan tiruan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011.


Katanya, penjualan barangan tiruan adalah satu kesalahan dan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan operasi sedemikian sentiasa dijalankan daripada semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tersebut.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]