RM600 juta untuk perkasa Bumiputera Sabah

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan kerajaan negeri Sabah mengumumkan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan serta pemerkasaan Bumiputera Sabah dalam bidang keusahawanan.


Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata dana dan kemudahan pembiayaan itu adalah untuk memperkasakan pembangunan dan kesejahteraan Bumiputera di negeri Di Bawah Bayu ini.


“Dua dana khas itu adalah merangkumi RM500 juta untuk kemudahan pembiayaan dan jaminan kewangan kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam projek pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, manakala  dana khas sebanyak RM100 juta bagi usahawan Bumiputera memacu projek pelaburan berasaskan pertanian dan agro-pelancongan.


“Dengan kerjasama kerajaan pusat, pelbagai kementerian dan pihak swasta, pelbagai program dan inisiatif telah dan akan diperkenal untuk memperkasakan penglibatan Bumiputera terutamanya dalam sektor perniagaan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam  kenyataan yang diedarkan kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) 2018 di sini, hari ini.


Musa, yang juga pengerusi MEB Negeri, berkata pelbagai inisiatif agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan program Teraju giat dijalankan di Sabah sejak jawatankuasa itu ditubuhkan.


“Sejak 2015 sebanyak 65 syarikat Bumiputera Sabah telah menerima dana sebanyak RM169.96 juta di bawah program Dana Mudahcara yang melibatkan sebanyak 69 projek.


“Projek-projek berkenaan telah berjaya menjana nilai pelaburan swasta sebanyak RM1.25 bilion yang turut menyokong usaha merancakkan pembangunan ekonomi di Sabah,” katanya.


Musa berkata pencapaian itu merangkumi pelbagai sektor dan dijangka menjana lebih 3,000 peluang pekerjaan baharu di Sabah dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, elektrikal dan kejuruteraan serta pelancongan.


Selepas mempengerusikan mesyuarat MEB itu, Musa turut menyampaikan suntikan dana kepada 38 usahawan Bumiputera Sabah.


“Suntikan dana berbentuk geran antara RM50,000 hingga RM100,000 itu untuk tujuan memperkembang perniagaan bagi membeli peralatan mesin dan meluaskan premis perniagaan masing-masing,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]