Untung bersih FY17 AirAsia susut kepada RM1.59 bilion

in Bisnes by


AIRASIA Bhd mencatat sedikit penurunan dalam keuntungan bersih kepada RM1.59 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY17) berbanding RM1.62 bilion sebelum ini berikutan cukai tertangguh  melonjak lebih lima kali ganda kepada RM458.49 juta.


Bagaimanapun, keuntungan operasi bersih menunjukkan keuntungan marginal sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.58 bilion sebelum ini, dibantu lonjakan 226.6 peratus dalam “pendapatan lain” kepada RM799.31 juta, kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam laporan sementara  suku tahunan terbaru kepada Bursa Malaysia.


“Pendapatan lain” termasuk keuntungan RM167.7 juta daripada pelupusan kepentingan dalam syarikat usaha sama Asia Aviation Centre of Excellence Sdn Bhd pada suku keempat, serta pendapatan bersih tahunan kira-kira RM180 juta melalui pengaturan sewa dengan PT Indonesia AirAsia Extra.


Sementara itu, pendapatan bagi FY17  melonjak kepada RM9.71 bilion daripada RM6.84 bilion sebelumnya, disebabkan peningkatan 11 peratus jumlah penumpang yang dibawa dan kenaikan faktor muatan kepada 88 peratus berbanding 87 peratus pada 2016.


Bagi suku keempat, keuntungan bersih syarikat penerbangan itu susut kepada RM434.22 juta berbanding RM464.73 juta tahun sebelumnya, sementara pendapatan meningkat 37.2 peratus kepada RM2.66 bilion.


Mengenai prospek, AirAsia berkata, ia yakin terhadap pasaran Indonesia berikutan permintaan yang kukuh terus dilihat di kebanyakan sektor dan tempahan ke hadapan terus kukuh.


Menurutnya, Thai AirAsia akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan kekuatan rangkaian AirAsia sedia ada dan mengukuhkan aktiviti pemasarannya di laluan China dan India pada baki suku 2018.


Sementara itu, AirAsia India memberi t umpuan untuk mengukuhkan  kedudukan di pasaran domestik dengan memperkenalkan laluan baru dan peningkatan kekerapan sementara AirAsia Japan memberi tumpuan untuk membina  kedudukan di pasaran domestik dan menghubungkan ke rangkaian sedia ada syarikat itu di rantau tersebut. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]