‘Kami semua rindu along’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Kami semua rindukan along, harap-harap dia dapat pulang dan ada pihak yang sudi bantu membawanya kembali ke negara ini,” kata Noraini Md Salleh, 47.  


Noraini merupakan ibu kepada Noorzailia Esammuddin, 30, yang didakwa dilarikan oleh seorang lelaki warganegara Nepal dipercayai teman lelakinya tujuh tahun lalu.


Menurutnya, anak sulungnya itu mengikut lelaki Nepal berkenaan yang dikenali sebagai ‘Adam’ pada tahun 2011 dengan tujuan bertemu dengan keluarga lelaki terbabit atas alasan berkaitan perkahwinan.


Bagaimanapun, Noraini mendakwa, sebaik sahaja sampai di Nepal semua dokumen milik Noorzailia disimpan oleh Adam sehinggakan anak sulung daripada 11 beradik itu tidak dapat pulang dan telah menjadi pendatang haram di negara berkenaan setelah tempoh sah tinggal tamat.


“Sebaik dia ke sana kami terputus hubungan, setahun selepas itu dia ada menghubungi kami dan menyatakan dia mahu pulang tetapi dokumen pengenalan dirinya tiada dan menyebabkan dia tiada dapat pulang.


“Kini setelah tujuh tahun di Nepal, dia telah mempunyai dua orang anak dengan lelaki berkenaan dan difahamkan mereka tidak lagi tinggal bersama setelah along berada dalam jagaan kedutaan Malaysia di negara berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Lurus, Senggarang, semalam.


Tambahnya, dia dimaklumkan oleh Noorzailia yang anaknya itu mahu pulang tetapi perlu membayar denda mengikut undang-undang negara terbabit sebanyak RM80,000.


“Mengikut rekod juga kedua-dua anaknya yang berada di Nepal itu tidak didaftarkan kelahirannya dan anaknya yang berusia enam dan tiga tahun itu turut dikenakan denda sekitar RM30 sehari setiap orang, jika mereka mahu dibawa ke Malaysia.


“Malah kami turut sedih dengan keadaan Noorzailia yang kini menghidap penyakit buah pinggang dan tidak mendapat rawatan yang sempurna dan yang ada kalanya juga kami terpaksa mengirimkan duit untuk dia membeli ubat,” katanya.


Dalam pada itu, Noraini turut memberitahu, anak sulu Noorzailia iaitu Hanif Faizal Dzaifullah Abdul Rahman, 9, yang ditinggalkan ketika berusia dua tahun amat merinduinya.


Katanya lagi, lebih menyedihkan apabila anak sulungnya itu tidak pernah bertemu dengan Norzailia, sebaliknya hanya melihat gambar untuk melepas rindu kepada ibunya itu.


Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap akan berhubung dengan pihak yang berkaitan bagi membantu membawa pulang wanita berkenaan.


“Buat masa ini kita akan berbincang dahulu dengan Ketua Bahagian, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk tindakan yang selanjutnya, selain bercadang mengadakan tabung derma kilat,” katanya.


Sumbangan boleh disalurkan ke akaun bank milik ibu Noraini, Salmah Md Shah iaitu 151427065092.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]