‘Kelayakan tak semestinya rujuk KPI saya’

in Uncategorized by


IPOH – Kelayakan wakil rakyat sedia ada untuk dicalonkan semula pada PRU14 ini tidak semestinya merujuk kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dibuat pengerusi BN negeri.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penilaian itu dibuat secara umum dengan mengambil kira pandangan awam dan fakta, bukan berasaskan beliau semata-mata.


Menurutnya, sepanjang dua penggal menjadi menteri besar, diakui ramai kalangan wakil rakyat yang melaksanakan tugas dengan baik, namun ada juga tidak mencapai KPI ditetapkan.


“Itu perkara biasa dalam proses penugasan mereka. Saya tahu ada wakil rakyat kita buat kerja dengan baik dan terus mendapat sokongan rakyat, jadi tidak ada sebab untuk kita tolak, namun dalam soal ini, ia bukan tertakluk kepada itu sahaja, tetapi perlu libatkan dokongan parti dan keseluruhan pengundi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.


Beliau berkata, secara keseluruhan, wakil rakyat negeri ini telah menunjukkan KPI yang memuaskan.


“Mereka yang disukai dan terus menunjukkan khidmat kepada rakyat, tak kan kita nak tolak, begitu juga mana-mana wakil rakyat yang menunjukkan perkhidmatan baik, mereka pasti akan dikekalkan pimpinan parti,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Zambry selaku Pengerusi BN Perak berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan manifesto di peringkat Parlimen dan Dun.


Katanya, penyediaan manifesto itu boleh disediakan untuk dimasukkan bersama manifesto negeri, bergantung kepada kemampuan pelaksanaan kerajaan.


“Paling penting adalah untuk menyediakan manifesto di peringkat negeri, jika ada kemampuan secara realistik, maka di peringkat Parlimen dan Dun juga akan kita sediakan.


“Kita sudahpun adakan perbincangan awal untuk menetapkan manifesto negeri yang bersifat inklusif yang mana melibatkan manifesto peringkat kebangsaan dan disesuaikan dalam konteks kerajaan negeri Perak,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]