Lelaki parah dipijak gajah meninggal dunia

in Uncategorized by


SUNGAI SIPUT (U) – Seorang lelaki warga emas yang parah dipijak gajah di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada 1 Februari lepas menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi.


Maklumat itu disahkan Setiausaha MIC Bahagian Sungai Siput, K Manimaran yang melawat keluarga mangsa di Kampung Sungai Buluh, di sini, pagi tadi.


Menurutnya, mayat M Paramanazan, 69, dibawa ke rumah keluarganya tengah malam semalam untuk urusan pengkebumian pagi ini selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping.


“Kita melahirkan rasa dukacita di atas pemergian mendiang. MIC Sungai Siput memberi sedikit bantuan kewangan buat keluarga mereka selepas mendapat tahu perkara ini pagi tadi.


“MIC akan terus memantau keadaan keluarga ini kerana mereka hidup susah dan pemergian bapa mereka pastinya membuatkan mereka hilang mata pencarian.


“Pengerusi BN Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun juga akan mencari cara untuk membantu keluarga ini dan mungkin akan bawa ke pengetahuan kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambah Manimaran, MIC juga akan berhubung dengan MIC Perak bagi menyalurkan sumbangan seterusnya kepada keluarga mangsa.


Dalam kejadian pada jam 4.30 petang pada 1 Februari lepas, warga emas itu patah tangan kiri, tulang rusuk kiri dan tulang leher selain luka di lengan kanan kerana dipijak gajah.


Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa memaklumkan siasatan mendapati mangsa bersama anaknya yang menaiki lori berhenti di lokasi tersebut untuk melihat gajah liar.


Mangsa kemudiannya dipercayai dikejar haiwan itu sebelum dipijak dan anak mangsa yang berada di dalam lori kemudiannya membawa bapanya ke hospital untuk terima rawatan.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]