Lembu sado jadi pilihan penternak belia

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Meskipun menternak lembu sado atau hibrid agak sukar, namun ia tidak menghalang minat Muhammad Fairuddin Makhtar, 25, menceburi bidang itu sejak berusia 15 tahun.


Minat anak kelahiran Kampung Telaga Daing, Seberang Takir itu terdorong apabila sering mengikut bapanya mengusahakan ternakan haiwan berkenaan.


Berkongsi kisah minatnya itu lagi, Muhammad Fairuddin turut mengakui kos menternak lembu sado itu juga lebih tinggi berbanding baka tempatan.


Ketika ini anak bongsu daripada 10 beradik itu mempunyai lapan lembu sado atau hibrid dengan nilai seekor mencecah lebih RM10,000.


“Setiap minggu saya memerlukan kos tidak kurang RM150 khusus untuk dedak memandangkan lembu baka itu hanya mengambil kira-kira 30 peratus rumput, manakala selebihnya adalah dedak.


“Selain itu proses menjaganya juga agak rumit kerana lembu sado tidak boleh berada dalam keadaan cuaca yang terlalu panas, di samping kandang tidak boleh menggunakan lantai simen,” katanya.


Muhammad Fairuddin yang merupakan salah seorang peserta Pertandingan Lembu Sado sempena Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam.


Katanya lagi, tempoh paling lama dia menternak bagi seekor lembu jenis Charolais atau Limousine sekitar empat tahun sahaja.


“Selepas tiga atau empat tahun saya akan menjualnya sama ada dalam bentuk daging atau untuk dipelihara.


“Ini kerana kos makanan atau dedak yang agak tinggi, tetapi sebenarnya ia merupakan satu kepuasan apabila dapat melihat lembu ini membesar,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]