
KEHANGATAN PRU14 semakin terasa, apabila ramai pemimpin tertinggi sama ada dari kerajaan mahu pun pakatan pembangkang, semakin kerap turun padang bertemu rakyat.
Begitu juga di Negeri Sembilan apabila empat hari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat negeri beradat ini, dan bertemu rakyat sekitar Port Dickson, sekali gus merasmikan sekolah baharu di Sendayan.
Jelajah Perdana Menteri ke seluruh negeri untuk bertemu rakyat, menguatkan lagi andaian bahawa tarikh PRU semakin hampir.
PRU14 kali ini pasti akan lebih meriah apabila banyak parti baharu yang akan bertanding.
Di Negeri Sembilan, antara kerusi yang turut menjadi perhatian adalah di Dun Labu, selain Dun Ampangan, Paroi dan Parlimen Teluk Kemang,
Kerusi N20 Labu merupakan salah satu sasaran Pakatan Harapan (Harapan) untuk merampasnya pada PRU14 ini.
Sejak PRU13 lagi, pakatan pembangkang berusaha menembusi Dun ini yang dianggap sebagai kubu kuat BN.
Bagi BN pula, ini adalah satu-satunya kerusi Dun yang dimenangi dalam Parlimen Rasah, berikutan empat lagi kerusi ditawan oleh DAP.

Kini, masing-masing parti sama ada BN, Harapan mahupun Pas sedang bertungkus-lumus melaksanakan program bagi mendekati masyarakat.
Melalui pengumuman yang dibuat, pucuk kepimpinan Harapan bersetuju memberikan kerusi Dun Labu kepada PKR.
PKR yang sebelum ini setia menanti, kini mampu tersenyum lebar apabila kerusi itu akhirnya diberikan kepada mereka.
Perebutan kerusi antara Pas dan PKR telah lama berlaku, yang mana sebelum ini PKR ingin bertanding, namun pucuk pimpinan memberinya kepada Pas.
Tetapi pada PRU kali ini, PKR akhirnya diberi peluang bertanding di Dun Labu, dan sudah semestinya mereka perlu kotakan janji untuk merampas Labu. Adakah PKR berjaya menawan Labu atau sebaliknya? Tunggu dan lihat sahaja.
Walaupun pengagihan kerusi PH telah selesai, masih ada lagi terdengar desas-desus dan khabar angin kononnya Amanah tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Ada juga yang mengatakan bahawa calon daripada Amanah perlu diletakkan di Dun Labu bagi mendapatkan undi, memandangkan sebelum ini Pas pernah bertanding di situ.
Lebih memeranjatkan lagi, Bersatu juga berhajat mahukan Dun Labu, kerana yakin rakyat akan memilih Bersatu yang didokongi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan rakyat Malaysia.
Walau bagaimana pun, sehingga kini masih lagi tiada perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut dilakukan.
Keputusan pengagihan kerusi Dun dalam Harapan telah pun dilaksanakan, dan pihak kepimpinannya turut mengesahkan bahawa tiada sebarang perubahan berlaku, biar pun terdapat beberapa desakan daripada parti komponen mereka yang tidak berpuas hati dengan pembahagian tersebut.
Nampaknya tuntutan yang dibuat oleh Bersatu tidak dilayan, dan sehingga kini pergolakan dalam Harapan di negeri ini masih jua berlaku.
Peperangan dalaman?
Di sebalik kekecohan yang berlaku dalam Harapan, kita juga melihat ‘peperangan’ antara Naib Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Abd Karim Mustafa dengan Ketuanya, Datuk Hasim Rusdi, yang juga merupakan Adun Labu.
Banyak suara nakal yang mula berbisik bahawa Abd Karim cuba melobi diri untuk diangkat sebagai calon Labu, memandangkan banyak program bersama rakyat mula dilakukan.
Dalam masa yang sama, Hasim yang dianggap sebagai orang kuat Tok Mat, sedaya mungkin mahu terus kekal sebagai calon Labu, buat penggal ketiga.
Jika Umno mahukan calon muda, sudah pasti Karim menjadi pilihan, namun jika pengalaman dan orang lama dijadikan bahan ukuran, sudah pasti BN akan kekalkan Hasim, yang juga merupakan Exco Pertanian dan Asas Tani.
Namun, dari segi kerja sejauh mana pencapaian dan perubahan telah dibawa oleh beliau untuk penduduk di Labu? Adakah peluang yang rakyat berikan kepada beliau sejak dua penggal itu, digunakan sebaik mungkin atau sebaliknya? Biarlah rakyat yang menilai.
Apa juga program yang dilakukan oleh kedua-dua individu ini, yang untung sudah pastinya penduduk setempat kerana banyak bantuan dan sumbangan yang diterima.
Persaingan banyak penjuru
PRU kali ini akan lebih mencabar apabila perlawanan tiga penjuru pasti akan berlaku. Mungkin juga akan wujudnya calon bebas yang sengaja ingin mengacau undi. Siapa tahu?
Begitu juga impian Pas untuk bertanding di Labu tetap diteruskan, cuma kali ini Pas bertanding di atas kaki sendiri, berbeza sebelum ini bersama Pakatan Rakyat.
Namun, keupayaan dan kekuatan Pas jangan pula dipandang sinis kerana masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Jangan cakap Pas sudah tidak berbisa, kerana taringnya masih lagi ada.
Bagi rakyat pula, mereka mempunyai banyak pilihan ketika mengundi nanti, namun persoalannya parti mana yang berjaya menambat hati pengundi di Dun Labu?
Source: SH Politik
[featured-video-plus]