Mansuh tol secara berperingkat

in Edisi Johor by


TANGKAK – Keazaman memansuhkan semua tol secara berperingkat melalui ‘penyusunan dan rundingan semula’ perjanjian tol dengan syarikat konsesi seperti syor Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2018 adalah satu kaedah tepat bagi meringankan beban pengguna lebuh raya dalam negara ini.


Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata, sesuatu yang telus dan berpaksi pada kehendak rakyat seperti dalam soal pemansuhan tol di negara ini sepatutnya sudah dilaksanakan parti pemerintah sejak sekian lama.


Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghapuskan tol beberapa hari lalu kerana kononnya menyusahkan rakyat hanya merupakan propaganda politik pemerintah di saat-saat hampir pilihan raya.


“Memang betul tol di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) telah dimansuhkan tetapi dalam masa yang sama pemerintah menambah tempoh perjanjian konsesi tol-tol yang lain dalam negara dan ia umpama kambus satu lubang, besarkan lubang lain.


“Bukankah kadar tol lebuh raya di bandar-bandar utama dinaikkan secara mendadak bermula akhir 2015 dan 2016 dan ketika itu negara ini berada di bawah pentadbiran Najib?,” katanya.


Beliau berkata, kenyataan mengelirukan Najib dilihat bertentangan dengan perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi dan sekiranya ia terbatal maka rakyatlah yang akan menanggung kos membayar ganti rugi kepada pihak terlibat.


“Mengapa baru sekarang tol mahu dihapuskan walhal selama ini parti pemerintah sentiasa memberi alasan bahawa mereka akan terpaksa menanggung pembiayaan jutaan ringgit jika pengambilalihan semua lebuh raya berlaku di negara ini,” katanya.


Pada masa sama, Syed Ibrahim turut mengaitkan soal keuntungan melampau yang dikaut syarikat konsesi terpilih atas penyediaan jalan raya sedangkan ia menjadi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat untuk menyediakan keperluan asas negara.


“Dalam soal ini pemerintah tidak perlu mengelirukan rakyat di antara tanggungjawab bernegara semua pihak dengan perniagaan yang dilakukan syarikat konsesi yang bermatlamat keuntungan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]