MDL tak lepas tangan

in Edisi Johor by


LABIS – Majlis Daerah Labis (MDL) tidak akan bersikap lepas tangan seperti didakwa sesetengah pihak berhubung kelewatan kerja menaik taraf Dataran Labis malah mengambil langkah wajar dengan memanggil dan mendenda kontraktor terlibat.


Ketua Whipnya, Mansor Birat berkata, projek tersebut sepatutnya siap pada 25 Disember tahun lalu iaitu dalam tempoh tiga tiga bulan daripada tarikh pelantikan kontraktor pada 4 September 2017.


“Pihak kontraktor telah pun diberi kelonggaran melalui lanjutan tempoh sehingga 11 Februari 2018 dan denda sebanyak RM200 sehari bagi setiap hari bekerja yang lewat telah pun dikuatkuasakan sehingga semua kerja disempurnakan.


“Sebenarnya MDL sedia maklum terdapat penangguhan kerja selama 10 hari bagi beri laluan kepada acara keagamaan masyarakat Cina di sini, yang menggunakan kawasan itu pada awal September tahun lalu,” katanya kepada pemberita semasa melawat kerja menaik taraf Dataran Labis, di sini, semalam.


Menurutnya, faktor cuaca iaitu hujan berterusan selama 10 hari pada Disember lalu turut menjadi penghalang kerja-kerja menaik taraf kawasan tersebut.


Katanya, kerja-kerja membina sistem saliran bawah tanah di dua kawasan berumput dan pemasangan jubin juga tidak boleh dilakukan ketika musim hujan menyebabkan kerja-kerja pembinaan tergendala seketika.


“Kesemua faktor tersebut diambil kira dalam menentukan tindakan yang telah dan akan diambil nanti dan setakat ini kira-kira 70 peratus kerja-kerja menaik taraf kawasan tersebut telah siap dan masalah kontraktor sudah dikenal pasti sebagai punca kepada kelewatan tersebut.


“Sebenarnya, proses pelantikan kontraktor diputuskan jawatankuasa atau panel penilai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sendiri kerana nilai projek melebihi RM500,000 seperti yang disyaratkan,” katanya.


Menurutnya, beliau menegaskan tidak timbul isu kegagalan atau kesilapan MDL berhubung pelantikan kontraktor kerana MDL merupakan agensi penerima projek walaupun terdapat sejumlah peruntukan daripada kerajaan negeri.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]