Neelofar Hijab mohon maaf

in Hiburan by
Neelofa

Neelofar Hijab mohon maaf


Selepas berdepan dengan kontroversi hebat berhubung pelancaran koleksi tudung terbaru di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota Isnin lalu, syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar, NH Prima International Sdn Bhd telah membuat permohonan maaf.


Menerusi sebuah kenyataan media, Pengarah Urusannya, Noor Nabila Mohd Noor, memohon maaf kepada semua pihak yang  terkesan dengan insiden yang berlaku itu.


“Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara istimewa untuk jenama kami, telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.


“Sepanjang majlis pada malam itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol minuman keras, gelas serta perkakas diasing dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis.


“Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup serta merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis berlangsung, Malah kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal untuk tetamu,” jelasnya.


Nabila yang juga kakak kepada pengacara Neelofa turut menjelaskan, pemilihan lokasi tersebut dibuat atas sebab kemudahan yang disediakan  pusat hiburan tersebut.


“Kami membuat keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini ditempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan di mana mereka menyediakan ruang untuk disewa sebagai tempat acara pada setiap Ahad dan Isnin kerana premis berkenaan tidak dibuka untuk kunjungan umum.


“Selain itu, sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED dan sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis itu.


“Segala kemudahan ini didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan pihak terbabit,” katanya lagi.


Berikutan insiden Isnin lalu itu juga, Neelofa teruk dikecam netizen kerana dengan pelbagai hujah yang menganggap ia lokasi tersebut tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung dan bergelar Hajjah.


Tidak sekadar itu, pelbagai pihak termasuk mufti dan pertubuhan Islam memberikan nasihat dan teguran secara terbuka  kepada Neelofa.


Menurut Noor nabila lagi, pihaknya telah mengambil langkah segera bagi membetulkan situasi ini.


“Tiada yang lebih penting daripada mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelak insiden sama berulang.


“Kami juga akan memastikan  isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa depan.


“Justeru kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan,” katanya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]