Op Lejang: Lelaki miliki 22 rekod jenayah antara ditahan

in Uncategorized by


IPOH – Seorang lelaki yang memiliki 22 rekod jenayah lampau antara yang ditahan dalam Op Lejang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di empat lokasi berasingan, kelmarin.


Lelaki berusia 27 tahun beralamat di Chemor itu ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah pondok berhampiran kebun sayur di Jelapang, sekitar jam 6.20 petang.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit cuba melarikan diri dan setelah berlaku pergelutan, suspek berjaya ditahan.


Menurutnya, hasil semakan rekod lampau, didapati lelaki itu terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah curi di daerah ini.


“Dalam serbuan itu, pemeriksaan lanjut berjaya menemui sebuah beg tangan wanita tertulis ‘Bonia’ mengandungi anak kunci dan alat kawalan kunci keselamatan yang dilaporkan hilang.


“Siasatan lanjut berjaya mendedahkan lain-lain barangan curi yang dibuang lelaki terbabit berhampiran kawasan perumahan Waller Court. Di situ kita kesan terdapat sebuah beg tangan wanita yang dibuang dalam semak.


“Lelaki terbabit kini ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam operasi berasingan, seorang remaja mengaku telah mencuri lima motosikal bersama seorang rakannya dengan sebahagian kenderaan curi itu dijual kepada pihak lain.


Mohd Ali berkata, remaja berusia 19 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Kinta sekitar jam 10 malam.


Menurutnya, remaja berkenaan telah membawa anggota ke kawasan semak berhampiran sungai, lokasi sebuah rangka motosikal ditempatkan.


“Hasil soal siasat lanjut, remaja itu kemudiannya mengaku telah menjalankan kegiatan curi motosikal di Station 18 dan sekitar Pekan Bharu antaranya melibatkan motosikal Honda EX5 dan Yamaha 125z,” katanya.


Remaja itu kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]