Pegawai bank didakwa terima suapan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang bekas pegawai bank didakwa di mahkamah sesyen, di sini, hari ini atas satu pertuduhan menerima rasuah dan sembilan pertuduhan melakukan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM290,400, tiga tahun lalu.


Bagaimanapun, tertuduh, Lai Chin Siang didapati mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.


Mengikut kertas pertuduhan rasuah, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM290,400 bagi dirinya daripada seorang individu melalui pemindahan wang akaun sebuah syarikat sebagai upah untuk membantu meluluskan pinjaman bagi jualan kilang di Batu Pahat yang bernilai RM15.1 juta.


Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Untuk sembilan pertuduhan lagi, dia didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan sejumlah wang rasuah berkenaan ke dalam akaun miliknya serta enam akaun individu lain yang mana wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.


Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amlatfa) 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama.


Kesalahan itu boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai wang yang terbabit atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Batu Pahat di Jalan Zabedah, Batu Pahat antara 10 April 2015 hingga 18 Mei 2015 ketika tertuduh memegang jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan di bank terbabit.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]