Pengguna motosikal penyumbang utama kemalangan maut

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Statistik Op Selamat 12 sempena Tahun Baharu Cina 2018 selama 14 hari bermula 9 Februari lalu, menunjukkan pengguna motosikal kekal menjadi penyumbang utama kemalangan maut.


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pengguna motosikal mencatat kematian 150 kes, diikuti pengguna kereta dengan 46 kematian, lima kematian masing-masing melibatkan pengguna lori dan van, manakala satu kes melibatkan pengguna bas.


“Faktor terbabas sendiri dilihat sebagai punca utama kemalangan maut, di mana pada Op Selamat kali ini ia mencatat 82 daripada 208 kes keseluruhan,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 12 Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di sini, hari ini.


Bagaimanapun katanya, statistik pada tahun ini menunjukkan penurunan jumlah kematian sebanyak 31 kes iaitu 226 melibatkan 208 kemalangan maut, berbanding 257 kematian daripada 235 kemalangan maut pada tahun lalu.


Noor Rashid berkata, sebanyak 385,547 saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan termasuk memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.


Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pengguna jalan raya yang didapati mengulangi kesalahan.


“JPJ sudah melaksanakan sistem demerit, tetapi kita akan membantu mereka dengan mengumpul dan menghantar data mengenai pesalah berulang,” katanya.


Katanya, PDRM telah mewujudkan Unit Siasatan Lebuhraya yang akan ditempatkan di 11 pejabat Hentian Rehat dan Rawat di lebuh raya utama negara bagi memastikan keselamatan pengguna, selain meningkatkan tindak balas segera sekiranya berlaku sebarang kes.


Bagaimanapun beliau tidak mengulas secara lanjut berkenaan unit itu. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]