Pengunjung Taman Rekreaksi Adda Heights rasa tak selamat

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Cabang PKR Tebrau memohon pihak bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap beberapa permasalahan yang timbul di Taman Rekreasi Adda Heights, di sini.


Ketuanya, Steven Choong mendakwa, antara permasalahan diadukan pengunjung adalah pencahayaan, lokasi menjadi tempat individu minum minuman keras dan kehadiran haiwan berbisa seperti ular.


Menurutnya, taman rekreasi tersebut menjadi tumpuan umum pengunjung bersenam yang datang dari sekitar Adda Heights, Johor Jaya, Mount Austin, Bandar Dato’ Onn dan Setia Tropika.


“Masalah di sini adalah berkaitan keselamatan kerana ada lampu yang tidak menyala. Sekarang, walaupun sudah jam 7 pagi suasana masih lagi gelap sedangkan pengunjung sudah bersenam.


“Malah keadaan yang gelap juga menyebabkan seorang wanita telah diragut beberapa hari lalu,” katanya pada sidang media di Taman Rekreasi Adda Heights, di sini, hari ini.


Selain itu, Steven mendakwa, tempat tersebut juga dijadikan port minum minuman keras oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab sehingga lewat pagi.


Katanya, masalah lain adalah kehadiran binatang berbisa dari kawasan kelapa sawit berhadapan taman rekreasi tersebut.   


“Memang ramai orang datang ke sini tetapi mereka dakwa tidak nampak pihak majlis ambil peduli bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.


Justeru itu, beliau akan membawa aduan berkaitan permasalahan itu akan dibawa ke pihak berkuasa tempatan berkaitan dalam masa terdekat selain memohon polis menambah kekerapan rondaan khusus sekitar jam 5 pagi hingga 7.30 pagi.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]