Trump dicalon Hadiah Nobel Keamanan?

in Global by


OSLO – NORWAY. – Institut Nobel Norway, semalam memfailkan aduan kepada polis selepas menerima pencalonan palsu untuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.


Pengarahnya, Olav Njolstad berkata, mereka mempunyai alasan untuk percaya pencalonan tersebut telah dipalsukan.


Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut tentang perkara itu kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.


Awal bulan lalu, Institut Penyelidikan Keamanan Oslo (Prio) mendakwa nama jutawan hartanah terbabit berada dalam senarai itu.


Menurut badan bebas organisasi Nobel yang memantau pencalonan didedahkan kepada umum, Trump sekali lagi dicalonkan untuk ‘ideologi keamanan melalui kekuatan’ oleh rakyat AS yang enggan identitinya didedahkan.


“Terdapat kemungkinan pencalonan itu dikemukakan individu yang melakukan penipuan identiti,” ujarnya.  


Setiap tahun, pencalonan untuk Hadiah Nobel Keamanan perlu dikemukakan pada 31 Januari dan antara nama individu yang layak dicadangkan adalah anggota Parlimen dan kerajaan serta profesor universiti.


Difahamkan, Institut Nobel itu telah menerima 329 pencalonan sah untuk Hadiah Nobel Keamanan 2018 dan lima anggota jawatankuasa yang akan memilih pemenang juga dibenarkan menghantar nama calon ketika mesyuarat pertama yang berlangsung pada Isnin lalu.


Antara nama yang disenarai pendek oleh Prio adalah pakar bedah Congo, Denis Mukwege dan aktivis kaum minoriti Yazidi, Nadia Murad yang melancarkan kempen membantah keganasan seksual.


Selain itu, antara pencalonan lain adalah Gerakan Payung yang menuntut pembaharuan demokrasi di Hong Kong pada 2014 yang dicalonkan kumpulan dwipartisan Kongres AS. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]