Ubah corak pengurusan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Bagi memperkasakan perkhidmatan awam, setiap organisasi dalam jabatan kerajaan perlu melakukan perubahan pengurusan.


Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, ini kerana norma kerja secara konvensional tidak lagi sesuai.


“Semua tugasan atau arahan perlu dilaksanakan berdasarkan sense of urgency dan elak kelewatan.


“Untuk terapkan budaya itu, ketua jabatan bertanggungjawab mewujudkan iklim perubahan, penglibatan dan aktifkan organisasi serta melaksanakan dan mengekalkan perubahan,” katanya.


Menurutnya, perkara utama perlu diterapkan dalam perubahan pengurusan adalah kesiapsiagaan dalam memenuhi jangkaan pelanggan atau pihak berkepentingan.


Beliau memberitahu, perubahan teknologi, sosiobudaya dan ekonomi telah meletakkan perkhidmatan awam dalam keadaan mencabar di mana pelanggan mengharapkan perkhidmatan cepat, tepat dan telus.


“Terutama jabatan kerajaan yang beroperasi di bandar besar. Harapan pelanggan ini hanya boleh dicapai jika kita bersedia berubah,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, semalam.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Zainudin Mohd Ali.


Terdahulu, Mohd Shafiq menyampaikan sijil penghargaan kepada 903 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang 2017.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]