PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2018 - page 2

100,000 kunjungi Ekspo Terengganu 2018

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Hampir 100,000 pengunjung dicatatkan dalam tempoh tiga hari Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung di pekarangan Stadium Negeri, Gong Badak sejak 25 Februari lalu.


Timbalan Pengerusi 2, Jawatankuasa Induk ekspo berkenaan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, sambutan itu di luar jangkaan pihaknya dan percaya ia mampu mencecah sehingga 400,000 orang sepanjang tujuh hari ekspo itu berlangsung.


“Jumlah itu termasuk 60,000 individu yang mendaftar bagi menyertai pertandingan cabutan bertuah bagi merebut pelbagai hadiah harian dan utama.


“Kita dapat lihat pengunjung berpusu-pusu datang tanpa menghiraukan cuaca panas dan membanjiri tapak ekspo bagi mendapatkan maklumat pembangunan kerajaan negeri serta menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah,” katanya.


Ekspo itu menyediakan lebih 200 lot jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS), 64 peniaga jualan but kereta, 55 peniaga kendera saji dan 20 peniaga T-Kitchen.


Pelbagai program dan aktiviti menarik disusun sepanjang ekspo berlangsung, bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai kejayaan pembangunan yang dilakar Terengganu.


Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan selebriti dan atlet negara, menonton persembahan kebudayaan dan mereka yang mencari pekerjaan, boleh mengikuti temu duga terbuka.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Penghormatan terakhir kepada Sridevi

in Global by


NEW DELHI – INDIA.  Peminat dan selebriti Bollywood pada hari ini memberi penghormatan terakhir kepada pelakon Sridevi yang meninggal dunia Sabtu lalu di Dubai.


Keranda pelakon berusia 54 tahun yang ditutup dengan bendera kebangsaan itu dibawa pulang ke Mumbai pada malam semalam menggunakan kapal terbang milik jutawan India, Anil Ambani.


Jenazah pelakon itu turut dibalut dengan sari berwarna merah dan ditempatkan di Celebration Sports Club berhampiran kediamannya di Lokhandwala bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada pelakon kesayangan mereka itu.


Ramai selebriti filem terkenal termasuk Madhuri Dixit, Rani Mukerji, Karan Johar, Aishwarya Rai, Jaya Bachchan, Soha Ali Khan, Imtiaz Ali, Rekha dan Arbaaz Khan turut hadir dalam upacara itu.


“Kasih sayang diberikan mendiang kepada saya sangat luar biasa dan saya berasa telah kehilangan panduan dalam hidup saya,” kata Mukerji.


Ratusan anggota polis turut ditempatkan untuk mengawal orang ramai ketika jenazah Sridevi diusung ke lokasi krematorium.


Ahad lalu, pihak berkuasa Dubai memaklumkan keputusan bedah siasat mendapati aktres terbabit meninggal dunia selepas lemas di dalam tab mandi di bilik hotel didiaminya.


Terdahulu, keluarga bintang terkenal itu mendakwa punca kematiannya adalah akibat serangan jantung.


Beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya, Boney Kapoor dan anak perempuannya, Kushi untuk menghadiri perkahwinan keluarga, bagaimanapun suaminya telah pulang ke Mumbai selepas majlis itu dan membuat keputusan untuk kembali ke Dubai bagi memberi kejutan buat isterinya.


Sridevi yang telah beraksi dalam kira-kira 300 filem sejak beberapa dekad lalu dilahirkan di Tamil Nadu dan terlebih dahulu membintangi filem di selatan India sebelum memasuki dunia Bollywood. – Bernama

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Piala Belia: PKNP FC kena peteh

in Sukan by


SKUAD Piala Belia PKNP FC gagal membawa pulang sebarang mata apabila tewas 0-1 kepada Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang tadi.


Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Muhammad Shaiful Haqim yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86.


Kedua-dua pasukan bermula baik sebaik wisel permulaan bagi membuka jaringan.


Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan kedua-dia pasukan hingga tamat babak pertama.


Kedua dua pasukan dilihat mula menggandakan asakan pada babak kedua namun tetap gagal menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing selain menyaksikan banyak percubaan yang tidak menepati sasaran.


Minit ke-86, Terengganu  diberikan sepakan penalti dan kali ini peluang berkenaan tidak dipersiakan Muhammad Shaiful untuk meledak jaringan.


Biarpun cuba bangkit pada penghujung perlawanan namun ia sudah terlalu lewat untuk PKNP FC menyamakan kedudukan dan menyaksikan kedudukan kekal ke wisel penamat.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Padah langgar syarat pengawasan AADK

in Edisi Terengganu by


SETIU – Padah melanggar syarat pengawasan, lima Orang Kena Pengawasan (OKP) berusia antara 23 hingga 39 tahun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Setiu.


Pegawai AADK Setiu, Che Omar Ab Rahman berkata, kelima-lima lelaki terbabit ditahan menerusi Ops Waran pada Sabtu lalu di sekitar daerah ini yang disertai 18 anggota AADK Setiu dan negeri.


Menurutnya, penahanan kesemua OKP terbabit dilakukan mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana melanggar syarat pengawasan.


“OKP dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara antara lapan hingga 20 bulan di Penjara Marang dan tiga daripadanya turut dikenakan masing-masing satu sebatan.


“Kita harap hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada OKP lain yang masih berdegil dan enggan patuh syarat pengawasan.


Che Omar berkata, semua OKP perlu mematuhi syarat ditetapkan mengikut perintah mahkamah.


AADK Setiu akan mempergiat usaha menjejak serta mengesan OKP yang gagal mematuhi syarat.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Dua rumah hangus, empat lagi berjaya diselamatkan

in Uncategorized by


TELUK INTAN – Dua kediaman dilaporkan hangus sementara empat lagi mengalami kerosakan dalam kebakaran di Jalan Jawa, di sini, petang tadi.


Kejadian sekitar jam 3 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Kamaruziman Abdullah berkata, anggota yang tiba di lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.15 petang mendapati, api sedang marak membakar dua rumah.


“Pihak bomba bertungkus lumus mengawal kebakaran daripada merebak ke empat rumah lagi yang berada bersebelahan.


“Usaha itu berjaya apabila empat lagi rumah hanya mengalami kerosakan lima peratus,” katanya.


Beliau berkata, kesemua rumah yang terlibat dalam kebakaran tersebut adalah rumah kelas C berkeluasan 80×40.


“Operasi tamat sepenuhnya jam 5.09 petang,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Turban BeLofa 'Sold Out'

in Hiburan by
Neelofa

Turban BeLofa ‘Sold Out’


BIARPUN usahawan dan pengacara terkenal, Neelofa Mohd Noor dilanda kontroversi hebat sejak Isnin lalu, jualan koleksi tudung turban terbarunya, BeLofa dilaporkan habis terjual dalam tempoh 24 jam.


Kesemua 45 warna, yang dijual secara atas talian pada harga RM73 bagi semenanjung Malaysia, RM75 (Sabah dan Sarawak) dan SG$36 (Singapura dan Brunei), telah direkodkan sebagai ‘sold out’ di laman web Naelofar Hijab.


Situasi ini secara tidak langsung menggambarkan apa pun kontroversi yang melanda, ia sedikitpun tidak menjejaskan jualan koleksi terbaru ini, malah ramai yang berasa kecewa kerana tidak sempat mendapatkan turban BeLofa.


Dalam pada itu, ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal memaklumkan ‘Be Lofa Turban’ telah habis terjual dalam tempoh dua minit selepas koleksi terbaru itu diperkenalkan.


“Ini team pos online. Alhamdulillah online turban dan shawl sold out! Terima kasih semua tenaga kerja yang sangat bagus. Esok semua akan terima turban shawl yang dibeli online hari ni,” tulisnya pada Insta Story.


Bagaimanapun, Neelofa sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung jualan koleksi terbarunya itu.


Pun begitu, pada Selasa Neelofa telah memuat naik gambar ketika ketika majlis pelancaran koleksi ini dengan Instagram beserta  kapsyen, “Thank you Malaysia”.


Terdahulu sebelum itu, Neelofa menerima kecaman hebat daripada orang ramai yang tidak bersetuju dengan tindakannya melancarkan koleksi terbaru tudung BeLofa dari jenama Neelofar Hijab di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota, pada Isnin.


Dan hari ini Naelofar Hijab telah membuat permohonan maaf.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

'Kesan lecur akibat letupan semasa latihan'

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Empat daripada enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh membunuh dan bersubahat membunuh Pegawai Kadet, Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu seorang doktor bahawa kesan lecur dan terbakar dialami mangsa disebabkan letupan ketika latihan di kem tentera.


Pegawai Perubatan Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi, Selangork, Dr Azfar Hussin, 34, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau dimaklumkan demikian ketika Zulfarhan Osman dibawa empat rakannya ke klinik berkenaan antara jam 12 tengah hari dan 1 tengah hari, 27 Mei 2017, lima hari sebelum mangsa meninggal dunia pada 1 Jun 2017.


Saksi ketujuh pihak pendakwaan itu berkata, Zulfarhan Osman yang memakai baju kemeja batik lengan panjang berwarna merah coklat dan berkain pelikat, yang kelihatan agak kotor dibawa oleh empat rakannya bagi mendapatkan rawatan kerana kecederaan terbakar dan mereka memaklumkan mereka adalah pelatih tentera di kem Port Dickson, Negeri Sembilan.


“Bila melihat kes tersebut, saya kata kes ini perlukan rawatan di hospital kerana klinik As-Salam klinik biasa sahaja, namun pesakit minta saya buat rawatan cucian (dressing) dan saya kata saya akan bawa ke Hospital Serdang kerana jarak dekat (dengan klinik), tetapi pesakit dan kawannya merayu buat rawatan asas dahulu bagi memudahkan pergerakan pesakit.


“Saya juga bertanya macam mana (kecederaan) boleh berlaku dan kawan pesakit kata, berlaku letupan ketika latihan di Port Dickson dan mereka telah dapatkan rawatan di klinik di Port Dickson,” katanya yang memberitahu ketika itu pesakit duduk di atas katil, dikelilingi kawan-kawannya dan sebahagian bajunya telah terbuka di bahagian hadapan.


Dr Azfar yang juga pemilik klinik itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah pada hari kedua perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman hari ini.


Katanya, beliau kemudian bertanyakan kenapa pesakit tidak terus mendapatkan rawatan di Port Dickson kerana jarak ke Bangi jauh dan Zulfarhan Osman yang ketika itu dalam keadaan stabil memberitahunya, kerana untuk menjaga reputasinya sebagai pelatih tentera.


“Saya tanya adakah penyelia di kem tahu mengenai kejadian letupan itu, salah seorang kawannya beritahu kes itu berlaku ketika latihan dan tiada penyelia yang tahu,” katanya, menambah Zulfarhan Osman turut memberitahu kejadian itu berlaku lima atau enam hari sebelum dia datang ke klinik tersebut.


Dr Azfar berkata, setelah selesai membuat rawatan iaitu cucian di seluruh bahagian badan dan membalut bahagian atas badan pesakit, beliau kemudian bertanyakan Zulfarhan Osman perlukah beliau menghubungi ambulans dan rakannya memberitahu tidak perlu kerana mereka datang menaiki kenderaan.


“Saya bertanya pesakit sendiri adakah keluarganya tahu kecederaan itu kerana saya ingin menghubungi keluarganya dan dia berkata ‘doktor jangan telefon keluarga saya di Johor sebab mak saya tengah sakit’,” katanya yang kemudian membatalkan hasratnya menghubungi keluarga mangsa lalu membuat surat rujukan ke hospital.


Kepada soalan Othman, kenapakah Dr Azfar membuat surat rujukan ke hospital, beliau berkata kerana mangsa mengalami kesan lecur terbakar lebih 10 peratus di keseluruhan badan termasuk di skrotumnya yang memerlukan rawatan di hospital dan turut menyifatkan kecederaan dialami Zulfarhan Osman adalah teruk.


Menjawab soalan siapakah keempat-empat rakan menemani Zulfarhan Osman di klinik itu dan adakah mereka ada di mahkamah hari ini, Dr Azfar kemudian menoleh ke kandang tertuduh dan berkata mereka ialah tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi; tertuduh keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat; dan tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali.


Terdahulu, saksi keenam pihak pendakwaan, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang,  Dr Salmah Arshad, 37, berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan, termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.


Katanya, kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, tahap dua dan tahap tiga yang didapati daripada pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali.


“Daripada 90 kesan lecur di tubuh mangsa itu, dua kesan adalah pada tahap satu, 59 kesan tahap dua dan 29 kesan tahap tiga,” katanya yang telah bertugas sejak 2016 sebagai pakar forensik dan bertanggungjawab menjalankan bedah siasat terhadap mayat Zulfarhan Osman.


Beliau berkata, selain kesan luka lecur, hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan lebam pada kelopak mata dan calar pada kening mangsa.


Kepada soalan Othman, apakah yang boleh menyebabkan kesan lecur pada tubuh si mati, Dr Salmah berkata, sesuatu objek panas dan mempunyai corak spesifik, iaitu bintik-bintik dalam susunan dua barisan sedikit melengkung dan ia seperti disebabkan oleh tekapan seterika wap.


Menjawab soalan Othman, adakah Dr Salmah boleh membezakan kecederaan diakibatkan orang lain atau mangsa sendiri, saksi itu berkata, berdasarkan pengalamannya, beliau boleh membezakan melihat kepada lokasi luka dan berdasarkan kesan luka lecur pada badan si mati, beliau berpendapat ia adalah disebabkan pihak lain.


“Luka berada hampir di keseluruhan badan (si mati) termasuk belakang badan yang mana sukar untuk dicapai tangan sendiri. Ini adalah luka akibat bahan panas yang tidak akan terjadi sebanyak ini jika dilakukan mangsa sendiri kerana ia menyebabkan kesakitan, selain lukanya juga terlalu banyak untuk dilakukan sendiri,” jelasnya.


Enam  penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem mengaku tidak bersalah pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.


Pertuduhan terhadap mereka, kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 Mac. – Bernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Seremban bakal jadi bandar raya

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Seremban bakal diisytiharkan sebagai bandar raya secara rasmi pada Januari tahun depan, bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum itu akan berlangsung pra pelancaran secara pentadbiran dijadualkan minggu kedua April tahun ini.


“Sepanjang tempoh itu, akan dibuat raptai memandangkan kita tidak macam negeri lain yang ada cuma satu entiti dalam proses berkenaan.


“Macam sekarang, kita ada dua entiti iaitu MPS (Majlis Perbandaran Seremban) dan MPN (Majlis Perbandaran Nilai) yang akan dicantumkan sebagai Majlis Bandaraya Seremban.


“Pada masa itu, kita akan bentangkan enakmen untuk menjadikan Seremban sebagai bandar raya pada Sidang Dun nanti,” katanya pada sidang media, hari ini.


Mohamad juga memberi jaminan tiada kenaikan cukai sepanjang tempoh tersebut.


“Kita tidak akan usik cukai. Sebaliknya kekal macam itu dulu dan tiada semakan apa-apa, termasuk pelesenan.


“Sehingga satu ketika nanti, kita akan cuba selaraskannya sebab sekarang ada perbezaan antara MPS dan MPN,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Dua kereta api berlanggar, 15 maut

in Global by


KAHERAH – MESIR. Sekurang-kurangnya 15 terbunuh manakala 40 lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kereta api di Mesir, hari ini.


Insiden kemalangan itu dilaporkan berlaku di luar stesen kereta api di Kom Hamada di wilayah Beheira, sebuah kawasan pantai di utara Kaherah.


Media tempatan memetik kenyataan pasukan keselamatan melaporkan kira-kira 30 ambulan dikerah ke lokasi kejadian dan mangsa cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Menurut saksi, insiden nahas itu berlaku selepas dua gerabak dipercayai terpisah daripada sebuah kereta api penumpang sebelum merempuh kereta api kargo.


Punca sebenar kemalangan itu bagaimanapun masih disiasat.


Difahamkan, kejadian tersebut berlaku beberapa bulan selepas sekurang-kurangnya 41 maut dalam nahas kereta api berhampiran bandar Iskandariah pada Ogos tahun lalu.


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Upin & Ipin terima anugerah Belia Antarabangsa

in Hiburan by
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood (tengah) menyaksikan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi (kiri) menerima Anugerah TV Filipina daripada Chairperson of Sea Prix Jeunesse Elvira Yap Go (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Anugerah TV Filipina di MDEC hari ini. – Foto Bernama

Upin & Ipin terima anugerah Belia Antarabangsa


SIRI animasi 3D Malaysia, Upin & Ipin, hari ini menerima anugerah yang dimenangi pada November tahun lepas semasa anugerah Prix Jeunesse Asia Tenggara yang pertama, satu festival video yang diadakan di Filipina.


Semasa festival itu, produser siri Upin & Ipin Les’ Copaque Production Sdn Bhd tidak dapat menghadirinya kerana pada masa itu karnival tahunan Upin & Ipin diadakan di Malaysia. Festival itu diadakan di Filipina tahun lepas bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Asean.


Anak TV Inc di Filipina yang mengadakan festival kali pertama itu, hari ini menyampaikan anugerah itu kepada pengarah urusan Les’ Copaque Burhanuddin Md Radzi dalam satu majlis yang diadakan di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini hari ini.


Presiden Anak TV Inc, Elvira Yap Go ketika mengulas kemenangan Upin & Ipin bagi kategori fiksyen profesional di bawah kategori tujuh tahun berkata siri animasi mengenai pasangan kembar itu mempromosikan budaya dan nilai Asean kepada dunia.


“Selain mendidik kanak-kanak mengenai nilai-nilai positif, Upin & Ipin juga mengajar orang lain seperti jiran dan penduduk kampung untuk hidup secara aman dan harmoni,” katanya.


Les’ Copaque dalam satu kenyataan berkata anugerah itu telah mendorong permintaan daripada stesen televisyen Filipina untuk menyiarkan siri itu serta sejumlah besar pengikut di Filipina mengikutinya dalam media sosial.


Upin & Ipin juga akan menembusi pasaran India melalui Disney Channel India selain China melalui China Central Television (CCTV).


Anugerah itu diadakan hasil inspirasi melalui satu acara Prix Jeunesse International Children’s Festival yang diadakan di Munich, Jerman pada Mei 2016, yang merupakan aktiviti utama Prix Jeunesse Foundation.


Yayasan Prix Jeunesse itu terkenal di peringkat antarabangsa kerana menyokong kecemerlangan  dalam siri televisyen bagi kanak-kanak. – Bernama

 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA