PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2018 - page 3

Penerima BR1M diminta bersabar, rujuk LHDN

in Nasional by


PUTRAJAYA – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta merujuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sekiranya bermasalah untuk mengeluarkan wang tersebut, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Beliau turut meminta penerima BR1M agar bersabar dan memberi sedikit masa kerana bayaran skim tersebut dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun penerima.


“Pembayaran fasa pertama BR1M 2018 telah mula diagihkan Isnin lepas dan kepada penerima yang belum mendapatnya, perlulah menunggu sekurang-kurangnya dalam masa seminggu.


Saya jangkakan menjelang Jumaat ini, 80 ke 90 peratus penerima akan mendapat pembayaran bantuan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.


Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam.


Johari berkata penerima yang berdepan masalah seperti wang tidak dimasukkan ke dalam akaun boleh pergi ke mana-mana pejabat LHDN bagi menyelesaikan masalah tersebut.


Pengagihan BR1M 2018 yang melibatkan peruntukan RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara akan dilakukan dalam tiga fasa.


Bayaran pertama BR1M mula dibuat Isnin lepas, manakala fasa kedua dan ketiga bakal dibuat pada Jun dan Ogos depan.


Dalam perkembangan lain, Johari berkata isu mengenai taikun Tan Sri Robert Kuok tidak dibincangkan pada mesyuarat kabinet hari ini kerana perkara itu bukan satu perkara berbangkit.


“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan beliau tidak pernah mempertikaikan sumbangan Robert Kuok kepada ekonomi negara.


“Pada saya, isu-isu yang dipolitikkan ini tidak lagi berbangkit dan tidak perlu dipanjangkan kerana perdana menteri sudah memberi penjelasan yang tepat mengenainya,” katanya.


Berhubung dakwaan sebuah portal bahawa beliau antara nama yang dicadangkan menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang, Johari berpendapat ia hanyalah satu rekayasa yang seolah-olah mahu ‘menghalaunya’ dari kerusi Parlimen Titiwangsa.


Katanya walaupun beliau anak kelahiran Selangor sebelum kawasan itu bertukar menjadi sebahagian Kuala Lumpur tetapi calon jawatan tersebut lebih sesuai diberikan kepada pemimpin dari negeri Selangor sendiri. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Piala Dunia: Malaysia tempah laluan sukar

in Sukan by


SKUAD hoki lelaki negara terpaksa cuba sedaya upaya untuk melepasi saingan peringkat kumpulan meskipun dilihat berdepan cabaran sukar pada pusingan akhir Piala Dunia di Bhubaneswar, India, dari 29 November hingga 16 Disember ini.


Skuad bimbingan Stephen Van Huizen berdepan dengan tugas getir untuk mara ke pusingan kedua setelah diundi bersama juara Eropah serta juara dunia tiga kali, Belanda, juara dunia dua kali, Jerman dan bekas juara dunia empat kali, Pakistan, dalam Kumpulan D.


Berdasarkan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam laman rasminya, www.fih.ch, hari ini,  skuad Malaysia Tigers  akan membuka kempen dengan menentang Belanda pada 1 Disember diikuti Pakistan (5 Disember) dan menamatkan perlawanan kumpulan dengan berdepan Jerman pada 9 Disember.


Menurut ranking dunia, Belanda, selaku naib juara edisi lepas pada 2014, menduduki  tangga keempat, Jerman (kelima) dan Pakistan ke-13 manakala Malaysia di tangga ke-12.


Sementara itu, juara bertahan Australia, yang juga pasukan ranking pertama dunia, disenaraikan dalam Kumpulan B bersama England, Ireland dan China.


Mengikut format pertandingan Piala Dunia melibatkan 16 pasukan, juara daripada empat kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir manakala pasukan kedua dan ketiga dalam setiap pasukan akan ke pusingan kedua ‘play-off’ untuk memburu empat lagi slot dalam peringkat suku akhir.


Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung dari 1 hingga 9 Dis dikuti pusingan kedua ‘play-off’ pada 10 dan 11 Disember, suku akhir (12 dan 13 Disember), separuh akhir (15 Disember), tempat ketiga dan final pada 16 Disember.


KUMPULAN:


A: Argentina, New Zealand, Sepanyol, Perancis,


B: Australia, England, Ireland, China


C: Belgium, India, Kanada, Korea Selatan


D: Belanda, Jerman, MALAYSIA, Pakistan. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Isu terowong: SPRM beku empat akaun

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan empat akaun berjumlah RM3.6 juta dan menyita kenderaan mewah bernilai RM1.3 juta.


Ia susulan penahanan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri. kerana dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.


Menurut sumber, SPRM hari ini telah membekukan empat akaun bank milik syarikat lelaki terbabit, yang mempunyai wang berjumlah kira-kira RM3.6 juta.


“Selain itu, SPRM turut menyita empat kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Mercedes Benz, Land Rover dan Hyundai Starex, dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta, serta tiga televisyen bernilai RM167,900,” katanya.


Sementara itu difahamkan, turut disita ialah sebuah rumah bernilai kira-kira RM2.5 juta yang terletak di Petaling Jaya.


Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu, dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Baiah bukti Pas serius memimpin

in Politik by


KUALA LUMPUR – Muslimat Pas konsisten menyokong lafaz baiah taklik talak tiga, bertujuan mengikat calon parti Islam itu.


Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh berkata, ia membuktikan peranan wanita cukup besar dari segi survival parti dan menunjukkan Pas serius dengan kepimpinan.


“Kita (Muslimat) tak ada masalah dengan baiah, kerana dapat kukuhkan Pas di Kelantan. Ini juga menjelaskan kepada rakyat bahawa kita serius dalam kepimpinan di peringkat kebangsaan dan negeri.


“Insya-ALLAH kita yakin apa yang dibawa Tok Guru, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah nampak keberkesanan,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Muslimat Pas di sini, hari ini.


Ketika ditanya hukum baiah yang dilafazkan oleh bekas ahli Pas yang berpaling kepada Amanah, beliau berkata, perkara itu (jatuh talak) terserah kepada ALLAH SWT.


“Mereka (bekas ahli Pas) lafazkan baiah dalam keadaan sedar, jawablah dengan ALLAH,” jelas beliau.


Menurutnya, lafaz baiah yang bakal diucapkan calon Pas pada PRU14 ini belum diputuskan tetapi akan diselaraskan di peringkat pusat.


“Baiah buktikan setiap calon perlu bersiap sedia, bukan main-main kerana ada tanggung jawab dipikul.


“Rakyat Malaysia perlu celik bahawa kita serius isu kepimpinan negara dan negeri. Ia tidak boleh dijual beli,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata, Pas sedang giat melakukan jelajah bagi menjelaskan kepada pengundi Cina dan India berhubung isu Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355).

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

'Jangan undi dacing, jangan undi bulan'

in Politik by


PEKAN – “Jangan undi dacing, jangan undi bulan,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada masyarakat Orang Asli di Perkampungan Gumum, di sini, petang tadi.


Menurutnya, untuk memastikan Harapan menang PRU14, sokongan masyarakat Orang Asli diperlukan.


“Jangan undi dacing, jangan undi bulan. Dan bulan itu sebagai pengacau untuk menarik undi Pakatan Harapan.


“Bulan ini tidak boleh menang, dia buat kacau sahaja. Bulan ada untuk sokong BN,” katanya.


Sementara itu, Mahathir berkata, Harapan berjanji akan menjaga kepentingan Orang Asli jika menang PRU14 nanti.


Menurutnya, perkara itu turut dinyatakan dalam manifesto Harapan bagi membela hak Orang Asli, sekali gus memastikan kehidupan mereka lebih terjamin.


Katanya, kegiatan perlombongan dan pembalakan menyebabkan komuniti Orang Asli hilang punca pendapatan dan sumber makanan.

Sebahagian penduduk di Perkampungan Gumum yang mendengar amanat Mahathir.


“Orang Asli perlukan hutan kerana itu sumber pendapatan mereka. Kegiatan dan perlombongan telah memberi kesan kepada kehidupan penduduk, malah mereka hidup di dalam debu.


“Pakatan Harapan akan berusaha untuk mengurangkan, malah sebaiknya menghentikan kegiatan-kegiatan ini demi menjamin kehidupan yang lebih baik buat penduduk khususnya Orang Asli,” katanya ketika berucap di hadapan masyarakat Orang Asli di Perkampungan Gumum.


Mahathir menghabiskan masa kira-kira 30 minit dalam pertemuan tersebut yang turut dihadiri isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali bersama pemimpin tempatan dan penduduk kampung.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Isteri kahwin lain, suami gantung diri

in Global by


KEDIRI – INDONESIA. Gara-gara ditinggalkan isteri, seorang lelaki berusia 60 tahun mengalami kemurungan sehingga memutuskan untuk membunuh diri.


Lelaki yang dikenali sebagai Bonadi itu ditemui mati oleh cucunya di rumah mereka semalam.


Lapor media tempatan, Bonadi menggantung dirinya menggunakan dawai.


Pada masa kejadian, cucunya yang berusia 11 tahun, meminta pertolongan jiran-jirannya.


Mereka kemudian membuat aduan polis.


Pihak polis tempatan mengesahkan Bonadi mati akibat bunuh diri dan tiada tanda-tanda penganiayaan ditemui pada tubuhnya.


Menurut keterangan ahli keluarga mangsa, isteri Bonadi meninggalkannya untuk menjadi seorang pembantu rumah di Malaysia.


“Sejak itu, isterinya tidak pulang. Malah, Bonadi dikhabarkan isterinya menikah lagi di Malaysia,” kata saudara mangsa. – Tribunnews

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Skandal 1MDB: Indonesia rampas kapal Equanimity

in Global by


JAKARTA – INDONESIA. – Indonesia, hari ini merampas sebuah kapal mewah di Pulau Bali yang sebelum ini dicari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


“Kami telah memeriksa kru sejak semalam dan kini mengambil tindakan selepas mendapat kebenaran mahkamah untuk merampas bot tersebut,” kata Pengarah Ekonomi dan Jenayah Khas di Biro Siasatan Jenayah di Jakarta kepada Metro TV.


Rakaman televisyen turut menunjukkan beberapa pihak berkuasa bercakap dengan kru kapal layar Equanimity tersebut di Teluk Benoa.


Menurut Setya, terdapat 34 kru di atas bot berkenaan dan beliau tidak pasti sama ada FBI akan terlibat atau tidak.


“Kami akan melihat bagaimana perkembangan kes ini. Sama ada kami akan melakukan siasatan bersama atau menyerahkannya kepada pihak berkenaan kerana kami masih dalam proses menyiasat dan mengumpulkan bahan bukti,” ujarnya lagi.


Menurut tuntutan sivil yang difailkan DoJ kira-kira dua tahun lalu, sejumlah AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) wang 1MDB disalahgunakan oleh pegawai tinggi dana dan rakan sekutu mereka.    


Pada Ogos 2017, DoJ meminta penangguhan tuntutan sivil yang dikemukakannya untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion (RM6.67 bilion) yang dipercayai dibeli dengan dana     


1MDB.


Antara aset yang dicari itu termasuk kapal mewah bernilai AS$250 juta (RM981 juta) yang dibeli pembiaya Malaysia, Jho Low yang dinamakan sebagai individu utama dalam tuntutan undang-undang AS tersebut.


Low yang gagal dikesan hingga kini didakwa membeli Equanimity menggunakan wang dicuri daripada dana 1MDB yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.


Aset lain yang dibeli olehnya termasuk jet peribadi, sebuah hotel dan hartanah di New York serta kepentingan berjumlah AS$107 juta (RM419 juta) dalam EMI Music Publishing.


Beberapa aset dilaporkan telah dipulangkan seperti dilakukan model dan aktres dari Australia, Miranda Kerr yang memulangkan barang kemas bernilai jutaan dolar yang diberikan Low kepada pihak berkuasa AS.


Pelakon terkenal, Leonardo DiCaprio turut memulangkan anugerah Oscar yang dimenangi Marlon Brando dan barangan lain kepada Washington yang didakwa dibiayai menggunakan wang 1MDB. – Reuters

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Farid Kamil dedah dua individu sebenar

in Hiburan by

Farid Kamil dedah dua individu sebenar


PELAKON dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil mendedahkan dua individu sebenar yang dipercayai telah meletakkan dadah dalam minumannya.


Malah, bintang filem Tombiruo ini turut berkongsi gambar dua individu berkenaan.


“Saya menyebut dua nama dalam laporan polis tetapi saya kecewa apabila dua individu lain yang dipanggil bagi membantu siasatan polis,” katanya pada sidang media khas di The Loft Event Space, Shah Alam.


Susulan itu, Farid menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah sebelum ini adalah individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.


Katanya, dua individu sebenar yang mendatanginya itu memperkenalkan diri sebagai kerabat diraja Johor dan Kedah yang juga merupakan pengurus artis dan penyanyi.


“Secara peribadinya, saya hanya kenal mereka dalam industri tapi tak pernah berjumpa. Tiba-tiba mereka ajak berjumpa dengan alasan mahu bincang urusan penting.


“Selepas berjumpa mereka, saya terus tak sedar diri,” katanya.


Dalam pada itu, Farid turut menuntut keadilan dan mendakwa dipukul 11 anggota polis berpakaian biasa pada malam ketiga ditahan, dalam keadaan lampu bertutup kira-kira jam 2 pagi.


Akibatnya, selebriti berusia 37 tahun ini mengalami kecederaan di dahi sehingga meninggalkan parut.


“Saya dipakaikan dengan baju berwarna putih dan tiba-tiba lampu ditutup. Ketika dipakaikan baju putih itu saya cuba meronta. Tiba-tiba saya berasa cairan mengalir di wajah saya.


“Apabila lampu dibuka semula dan cuba buka pakaian berkenaan, saya dapati banyak kesan darah pada baju itu


“Sedangkan sebelum itu saya hanya bertanyakan tentang arah kiblat. Banyak keraguan tentang arah kiblat yang sebenar,” katanya.


Biarpun sudah membuat laporan polis terhadap perkara berkenaan, suami Diana Danielle ini kecewa dengan hasil maklum balas yang diterima dari pihak polis.


Terdahulu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 16 Januari lalu.


Bagaimanapun, bintang filem Lagenda Budak Setan ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 25 Januari lalu.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Harga minyak naik minggu ini

in Nasional by


SHAH ALAM – Harga runcit minyak bagi minggu ini masing-masing mencatatkan peningkatan.


Kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Facebook rasminya memaklumkan bahawa harga minyak RON95, RON97 dan diesel masing-masing naik 3 sen, 4 sen dan 5 sen.


Harga baharu ini akan bermula 12.01 tengah malam ini hingga 7 Mac ini.


Untuk itu harga runcit bagi, RON95 akan dijual pada harga RM2.20 seliter, RON97 dijual dengan harga RM2.47 seliter dan diesel pula RM2.18.


Pada minggu sebelumnya, harga  RON95 dan RON97 masing-masing turun 6 dan 7 sen manakala diesel pula berkurangan 6 sen.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Warga emas dipenjara 12 bulan, denda RM2 juta

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Seorang warga emas dipenjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah dua pertuduhan menipu berhubung urusan pembelian saham Koperasi Pelaburan Pekerja Proton Berhad (Kopro) berjumlah RM350,000, 11 tahun lalu.


Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Basir, 67,  selain dia juga berdepan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar jumlah denda ditetapkan.


Ketika menjatuhkan hukuman itu, Azman menasihatkan Ismail agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang, kerana ia bukan sahaja menyusahkan dirinya, malah menyebabkan kegusaran banyak pihak lain.


Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa membabitkan diri dalam penipuan  pembelian saham Proton Holdings Berhad sehingga menyebabkan Kopro menyerahkan wang berjumlah RM350,000 melalui tiga cek Affin Islamic Bank Berhad bagi tujuan pembelian saham berkenaan.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kopro, kawasan Perindustrian Hicom Batu 3, Shah Alam, antara 7 Ogos 2007 dan 21 November 2008 mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 182 akta sama serta Seksyen 87A(b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.


Kedua-dua akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta, jika sabit kesalahan.


Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Zul’Aida Zulkifli memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan dilakukan serius, dengan mengambil kira peningkatan kes penipuan melibatkan urusan pembelian saham, yang boleh memberi kesan terhadap integriti pasaran modal.


Sementara itu, Ismail yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dan berjalan serentak, kerana telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.


Mengikut fakta kes, Ismail berjaya mempengaruhi Kopro menerusi satu taklimat sehingga lembaga pengarah Kopro telah meluluskan resolusi bagi beberapa perkara, antaranya membuka satu akaun perdagangan saham di PM Securities dan melantiknya sebagai remisier.


Sementara itu, antara 7 Ogos 2007 dan 28 November 2008, Kopro telah menyerahkan tiga cek berjumlah RM350,000 kepada Ismail yang tidak pernah dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk bergiat dalam aktiviti berkaitan pasaran modal, bagi tujuan pelaburan.


Namun selepas menerima cek-cek tersebut, tertuduh tidak mendepositkannya ke dalam akaun perdagangan Kopro, sebaliknya telah mendepositkan semua cek berkenaan ke dalam akaun perdagangan adik iparnya, Xavier Amin anak Ubong di PM Securities.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

1 2 3 4 5 30
Kembali UTAMA