PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2018 - page 30

Bapa kandung Nur Aina Nabihah guna air 'jampi'?

in Semasa by


PORT DICKSON – Bekas air yang didakwa mengandungi air ‘jampi’ antara tiga barang yang diambil polis semasa pasukan penyiasat itu melakukan siasatan di lokasi kejadian tempat Nur Aina Nabihah Mohammad,9, kanak-kanak yang dipercayai didera dengan kejam sebelum meninggal dunia.


Dua lagi barang yang diambil adalah bangku kecil plastik yang telah patah dan tali pinggang tentera.


Barang-barang tersebut diambil dari rumah sewa tempat Nur Aina Nabihah tinggal bersama abang dan bapa kandung serta ibu tiri dan dua adik tirinya di Taman Vista Jaya Lukut Jumaat lalu.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Zainudin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan bahawa bekas air yang didakwa suspek mengandungi air ‘jampi’ turut dirampas polis bagi membantu siasatan.


Sinar Harian difahamkan, bapa kandung Nur Aina Nabihah yang juga suspek kes ini percaya bahawa anak perempuannya itu mempunyai saka dan air jampi itu digunakan untuk mengelakkan masalah itu berlarutan.


Terdahulu sekitar jam 12.30 tengah malam Khamis lalu Nur Aina Nabihah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban selepas dia ditemui tidak sedarkan diri oleh ayahnya di kediaman mereka.


Bedah siasat ke atas kanak-kanak itu mendapati dia mengalami kecederaan parah, hati koyak, putus pankreas, patah tulang rusuk kiri dan kanan serta terdapat kontusi atau lebam dalaman pada usus besarnya.


Berikutan itu bapa kandung dan ibu tirinya direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu.


Suspek yang juga bapa kandung Nur Aina Nabihah dalam pengakuan awalnya ketika disoal siasat polis mengaku pada malam kejadian dia telah memukul anaknya dengan tali pinggang yang biasa digunakan oleh tentera, menendang dan memijak perut anaknya hingga terkencing.


Suspek juga membuat pengakuan awal pernah memukul anaknya menggunakan sebuah bangku kecil plastik.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Sindiket edar dadah tumpas

in Semasa by


JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari dekat Skudai, di sini, dua hari lalu.


Turut dirampas pelbagai jenis dadah lebih 10.39kg yang bernilai RM1.43 juta.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, individu yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki tempatan serta masing-masing wanita tempatan dan Vietnam berusia antara 22 hingga 50 tahun.


“Pihak kita telah melakukan intipan dan pemantauan terhadap aktiviti sindiket terbabit sejak empat bulan lalu.


“Kita percaya sindiket ini menggunakan taktik dengan membungkus dadah sintetik menggunakan pakej minuman berperisa seperti teh berperisa mangga untuk mengaburi mata pihak berkuasa.


“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas serbuk ektasi seberat 10.21kg; ketamin (5.62 g); syabu (140.01g); eramin 5 (130 biji) dan ektasi (empat biji),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor, di sini, hari ini.


Mohd Khalil berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk proses membungkus dadah seperti alat pemampat dan alat penimbang.


“Sebuah kereta Audi TT dan sebuah kereta Proton Saga turut dirampas dalam serbuan tersebut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

1 28 29 30
Kembali UTAMA