9 tentera bebas dengan jaminan polis

in Edisi Johor by


KLUANG – Sembilan anggota tentera yang dipercayai terlibat merogol seorang gadis berumur 17 tahun dalam kejadian di bandar Kluang, Disember lalu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, sebelum ini, kesemua suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan bersabit kes berkenaan.


“Kesemua suspek telah diberikan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan iaitu untuk mendapatkan laporan kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA).


“Oleh kerana mereka adalah penjawat awam, maka kertas siasatan ini juga perlu dirujuk kepada bahagian D5 Bukit Aman dan Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.


Pada 23 Februari lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan segera kepada Peguam Negara berhubung kejadian rogol berkenaan.


Beliau berkata, semua suspek berusia lingkungan 19 hingga 24 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan iaitu merogol berkumpulan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.


Katanya, kejadian rogol itu berlaku pada pertengahan Disember lalu dan difahamkan, semua anggota tentera itu dari Kem Mahkota, Kluang, ditahan selepas gadis berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, kira-kira jam 8.50 pagi Khamis lalu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]