KMN sokong saranan agamawan terhadap Neelofa

in Nasional by


SHAH ALAM – Srikandi Kesatuan Melayu Nasional (KMN) menyokong saranan dibuat beberapa pihak termasuk ilmuwan agama terhadap Neelofa.


Presidennya, Halizatulakema Lias berkata, sebagai ikon masyarakat, usaha murni dibuat Neelofa harus dipuji kerana mahu mengajak wanita muslimah berhijab, namun yang dikesalkan lokasi pelancaran dan beberapa acara sepanjang majlis berlangsung.


“Mungkin beliau terlepas pandang dan buat pelancaran di tempat tidak sepatutnya .


“Ini membawa imej yang tidak baik kepada kesantunan dan susila wanita Islam itu sendiri,” katanya dalam  kenyataan, semalam.


Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan memberi Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 29, tiga nasihat berikutan tindakannya melancarkan koleksi tudung terbarunya, BeLofa di Zouk, malam kelmarin.


Muftinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, perkara pertama  tanyalah ulama sebelum bertindak; kedua, sentiasa pelihara imej wanita bertudung dan ketiga, carilah rezeki diberkati ALLAH SWT.


Mengulas lanjut, Halizatulkema berharap semua pihak yang ingin melakukan kebaikan supaya lebih peka supaya kebaikan dilakukan dijauhi daripada fitnah dan tohmahan.


“Pandangan dan nasihat daripada semua pihak terutama golongan cerdik pandai dan ilmuwan agama  harus diambil kira agar segala kebaikan yang kita lakukan selari dengan tuntutan syarak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]