Penangan durian Musang King RM5

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Penangan harga RM5, sebanyak 200 anak pokok durian Musang King dan IOI-Hajah Hasmah yang dijual gerai Jabatan Pertanian pada Ekspo Terengganu 2018 habis terjual tidak sampai setengah jam dalam jualan ‘happy hour’.


Penolong Pegawai Pertanian Kompleks Pertanian Negeri Ajil, Hulu Terengganu, Mohd Azwan Mamat berkata, harga istimewa itu ditawarkan sebagai pengenalan, selain menggalakkan lebih ramai orang menanam pokok durian Musang King, yang menjadi sumber kekayaan baharu negara.


Menurutnya, ia juga selari dengan kempen yang dilakukan Jabatan Pertanian iaitu ‘satu rumah, satu pokok’ dalam menggalakkan masyarakat menanam dan meningkatkan pertumbuhan pokok.


“Harga RM5 itu kita tawarkan hanya pada ‘happy hour’ dan pada waktu lain, anak pokok Musang King kita jual pada harga RM18.


“Selain durian, kita juga menjual anak pokok nangka (Tekam Yellow) pada harga RM5, kelapa pandan (RM6), RM3.50 bagi durian Belanda, limau kasturi dan limau nipis manakala kelapa MRD dan kelapa MYD dijual pada harga RM4.


“Bagaimanapun, anak pokok Musang King ini kita hadkan jualan dan setiap orang dihadkan tiga pokok bagi mengelakkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Azwan (kanan) menunjukkan anak pokok durian Musang King yang dijual.


Jelas beliau, kesemua bekalan anak pokok itu dibawa dari Kompleks Pertanian Negeri Ajil, Hulu Terengganu.


Selain membuat jualan, pihak jabatan juga memberikan khidmat nasihat tentang cara-cara menanam pokok, pembajaan, bagaimana tangani jika ada penyakit dan pengetahuan asas dalam bertani.


“Sebenarnya kempen ‘satu rumah, satu pokok’ ini sudah lama tapi masyarakat kurang prihatin tentangnya, jadi kita ambil langkah membuat promosi supaya dapat menggalakkan lagiorang ramai supaya beli pokok dengan harga jabatan (murah) dan dengan variati tulen.


“Melihatkan sambutan yang di luar dugaan ini, kita jangkakan hari terakhir ekspo iaitu pada Sabtu ini akan lebih hangat,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]