Perlu akur keputusan mahkamah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Tindakan kerajaan negeri membawa kes kenaikan cukai taksiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ke Mahkamah Persekutuan hanya akan membebankan rakyat di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.


Menyuarakan kekesalan beliau, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan ini hanya akan memanjangkan isu berkenaan walaupun sebelum ini Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kenaikan cukai taksiran berkenaan adalah tidak sah.


Menurut beliau, sekiranya berjiwa rakyat, kerajaan negeri sepatutnya menerima keputusan dua mahkamah berkenaan dan memulangkan semula cukai taksiran yang dibayar lebih oleh penduduk.


“Kerajaan negeri patut contohi Kerajaan Selangor di mana mereka bukan sahaja tidak menaikkan cukai taksiran, tetapi turut mengecualikan pembayaran cukai taksiran kepada pemilik rumah kos rendah.


“Dalam konteks ini, saya juga ingin merayu kepada Ketua Menteri Melaka supaya beliau membatalkan hasrat membuat rayuan ini dan seterusnya mengekalkan cukai taksiran pada kadar lama selain memulangkan semula cukai  yang terlebih bayar oleh penduduk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Pada Ogos 2016, Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan bahawa tindakan MPHTJ menaikkan cukai taksiran untuk kawasan pentadbiran mereka adalah tidak sah.


Ekoran keputusan itu, kes berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Rayuan di mana pada Mac 2017, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kenaikan terbabit adalah tidak sah.


Menurut Poay Tiong, susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, kerajaan negeri telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan di mana tarikh perbicaraannya masih belum diputuskan.


Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan masih belum diselesaikan dan buat masa ini, MPHTJ masih mengenakan cukai taksiran baharu berkenaan.


“Ramai penduduk di kawasan MPHTJ telah menghubungi saya mengenai perkara ini kerana mereka ingin tahu apa status cukai taksiran ini memandangkan sebelum ini mahkamah sudah memutuskan ia sebagai tidak sah.


“Dari apa yang saya difahamkan, MPHTJ sudah mula mengutip cukai taksiran baharu ini semenjak suku kedua 2015 lagi,” katanya.


 


 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]