RM19 juta tingkat kemudahan pendidikan di Labuan

in Edisi Sabah Sarawak by


LABUAN – Kementerian Pendidikan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM19 juta  untuk meningkatkan kemudahan pendidikan sedia ada di pulau bebas cukai ini, kata Menterinya  Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Beliau berkata peruntukan itu adalah dari dana khas kementerian untuk membantu  memenuhi keperluan segera sekolah di sini.


Beliau berkata daripada jumlah itu, RM15 juta diperuntukkan bagi penubuhan pusat tingkatan enam, RM3.7 juta bagi penyelenggaraan keseluruhan  struktur  bangunan sekolah termasuk Kolej Matrikulasi Labuan dan RM300,000 bagi memperbaiki dan menaik taraf kemudahan di sekolah.


“Kami telah menerima permohonan untuk menjadikan flat perumahan sedia ada menjadi bilik darjah tingkatan enam dan kementerian telah meluluskan peruntukan RM15 juta bagi projek tersebut,” kata beliau kepada pemberita selepas program Titian Kasih di Kolej Matrikulasi Labuan di sini hari ini.


Menurut beliau, kebanyakan sekolah di negara ini dibina lebih dua dekad lalu (25 tahun) dan oleh itu struktur bangunannya memerlukan penyelenggaraan dari semasa ke semasa.


Mahdzir juga berkata projek untuk membaiki sekolah-sekolah daif di kedua-dua negeri dengan peruntukan RM1 juta setiap satu kepada Sabah dan Sarawak telah bermula dan kontraktor bagi projek tersebut telah dilantik.


“Bagaimanapun kita akan membelanjakan kira-akira RM500 juta tahun ini bagi projek tersebut yang melibatkan kira-kira 100 sekolah di setiap negeri dan bakinya akan dilaksanakan tahun berikut,” kata beliau.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumukan  peruntukan itu semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen tahun lepas. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]