RM2.8 juta selenggara 46 sekolah di Beaufort

in Edisi Sabah Sarawak by


BEAUFORT – Kementerian Pendidikan mengumumkan peruntukan RM2.8 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan 37 sekolah kebangsaan (SK) dan sembilan sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Beaufort.


Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan sangat prihatin dengan keselesaan dan masa depan anak-anak, selain sentiasa berusaha memastikan hubungan baik antara pihak sekolah dan ibu bapa.


“Di mana sahaja ada sekolah, apa juga kaum pelajarnya, kita akan sentiasa pastikan pendidikan rakyat sempurna dan baik,” katanya.


Beliau berucap demikian pada majlis penyerahan bantuan awal persekolahan di Beaufort di SK Mempagar di sini hari ini.


Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan RM1,121,500 kepada Pejabat Pendidikan Beaufort.


Selain itu, Mahdzir mengumumkan RM72 juta telah diperuntukkan bagi membina semula Sekolah Menengah Sains di Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk menggantikan bangunan sekolah itu yang semakin uzur.


Beliau juga meluluskan peruntukan RM100,000 bagi kerja penyelenggaraan SK Mempagar dan meluluskan pembinaan semula satu blok bangunan sekolah itu menggunakan sistem binaan berindustri (IBS). – Bernama

 


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]