TCFC enggan mudah mengalah

in Sukan by


MESKIPUN bakal berdepan penyandang juara dua kali berturut-turut, namun skuad Terengganu City FC (TCFC) enggan mudah mengaku kalah sebelum turun membuat perhitungan bertemu Kelantan dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu malam esok.


Pengendalinya, Mohd Noor Mohd Derus mengakui walaupun di atas kertas pasukannya dilihat bakal berdepan laluan getir untuk mara ke pusingan seterusnya, tetapi ia bukan alasan buat anak buahnya untuk memberi laluan mudah buat mereka sebaliknya menjanjikan aksi terbaik sepanjang perlawanan itu nanti.


Menurutnya, pemain perlu memberikan komitmen lebih seratus peratus diatas padang dan bersedia menyerap apa jua bentuk tekanan yang diberikan, selain berwaspada terhadap ancaman yang bakal diberikan kem tuan rumah.


“Kita perlu realistik dengan kualiti pemain yang ada ini kerana mereka sememangnya  perlu bersaing dengan pasukan yang jauh lebih kuat dan beraksi di Liga Super.


“Jadi pemain bukan sahaja  perlu bekerja dengan lebih keras bahkan  memberikan aksi terbaik mereka sepanjang perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang bola Kampung Tualang, Manir, semalam.


Mengulas lanjut, bekas pemain skuad Penyu itu berkata, pasukannya sudah bersedia dengan beberapa strategi dan taktikal untuk mengimbangi rentak permainan Kelantan serta mengharapkan pemain dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik di atas padang nanti.


Katanya,  pemain  perlu memainkan peranan mereka dengan baik memandangkan pasukan Kelantan memiliki ramai pemain berpengalaman termasuk awang import yang semakin berbisa dalam meledakkan gol buat pasukan.


“Justeru, pemain perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dan cuba melakukan serangan serta bertahan dengan baik  selain berusaha mengawal pergerakan pemain lawan daripada menguasai perlawanan.


“Saya yakin sekiranya pemain dapat melaksanakan arahan dengan baik dan mempamerkan displin yang tinggi kita mampu memberikan keputusan membanggakan kerana percaya dalam bola sepak apa jua boleh berlaku,” katanya.


Kem TCFC berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA setelah mencipta kebangkitan daripada ketinggalan 0-1 ke atas Jerantut FA  dengan meraih kemenangan 2-1 menerusi dua jaringan  Mohd Rahizi Mohd Rasid .


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]